UMNO Ketereh Usul Teguhkan Ikatan Dengan PN Hadapi PRU15

- Advertisement -

CYBERJAYA: UMNO Bahagian Ketereh mengusulkan agar parti itu memperkukuh ikatan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan ahlinya, malah mengerat hubungan kerjasama dengan orang Melayu, badan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta parti politik Melayu tanpa meninggalkan bangsa-bangsa lain.

Ia antara beberapa usul dikemukakan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu yang dirasmikan ketuanya, Tan Sri Annuar Musa di Kota Bharu, hari ini.

Menurut UMNO Ketereh, perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan parti politik Melayu hanya mengundang musibah dan membawa kehancuran kepada semua pihak yang mana kesatuan dan perpaduan kukuh amat penting untuk mendepani cabaran termasuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Usul lain yang dicadangkan ialah terus memastikan pemerintahan kerajaan Malaysia berteraskan kuasa politik orang Melayu dan Bumiputera yang berkerjasama dengan semua kaum bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam tanpa meminggirkan kaum dan agama lain.

UMNO Ketereh itu juga konsisten kekal dengan pendirian seperti diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung kerjasama politik menjelang PRU15 iaitu menolak kerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. “No DAP No Anwar” atau sesiapa saja yang bersekongkol dengan DAP.

Usul berkenaan dikongsikan Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menerusi Twitternya.

Selain itu, UMNO Ketereh mengusulkan agar parti itu teguh menjunjung dan memperjuang keluhuran Perlembagaan berasaskan kedaulatan undang-undang dengan asas utama Islam sebagai Agama Persekutuan dan Raja-Raja Melayu tetap dipertahankan, di samping kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera dipelihara.

“UMNO Ketereh menyokong kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai aspirasi dan perjuangan sama dalam mempertahankan Islam, hak Melayu serta Bumiputera, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan apa-apa saja mengenai keistimewaan Melayu Bumiputera dan Islam berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi memastikan UMNO cemerlang dalam PRU15, Umno Ketereh menyokong usaha memperkasa Muafakat Nasional (MN) serta memperteguh muafakat antara Barisan Nasional (BN) Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah sebagai persiapan satu lawan satu menentang Pakatan Harapan ( PH ).

“Menggesa pucuk pimpinan parti agar terus berunding secara bijaksana dalam kalangan parti sahabat dan sealiran sehingga terwujud satu persefahaman padu ke arah menghadapi PRU15,” menurut usul tersebut.

Sementara itu, Annuar yang juga Setiausaha Agung BN berkata, MN tidak akan didaftar sebagai satu parti politik, sebaliknya kekal sebagai wadah mendukung penyatuan UMNO dan PAS serta terbuka kepada parti lain.

“Ramai cakap MN belum rasmi sebab nama dah dafar pada badan lain, sebab perlembagaan belum siap dan sebagainya.

“Saya nak cakap MN takkan didaftarkan sebagai parti politik, ia akan kekal sebagai satu wadah yang mendukung penyatuan tak hanya UMNO dan PAS, tapi terbuka ke parti lain dan NGO yang gerakkan penyatuan ummah, tanpa didaftarkan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat