Gencatan senjata tamat, Israel kembali serang Gaza

- Advertisement -

GAZA – Israel mengumumkan penyambungan semula pertempuran di Gaza pada Jumaat, dengan melakukan beberapa siri serangan udara di seluruh wilayah itu, ketika gencatan senjata tamat tanpa persetujuan untuk melanjutkannya.

“Hamas melanggar jeda operasi, dan sebagai tambahan, menembak ke arah wilayah Israel.

“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) sudah menyambung semula pertempuran menentang organisasi Hamas di Semenanjung Gaza,” kata tentera Israel.

Menurutnya, jet pejuang “pada masa ini menyerang sasaran Hamas” di Gaza, dan wartawan AFP melaporkan terdapat serangan udara di utara dan selatan wilayah itu.

Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata, serangan membunuh tiga orang di selatan Gaza, Rafah, yang mana di situ ramai penduduk Palestin yang sebelum ini melarikan diri ke situ dari utara wilayah itu.

Sumber yang rapat dengan Hamas memberitahu AFP bahawa sayap bersenjata kumpulan itu sudah menerima “arahan untuk menyambung semula pertempuran” dan untuk “mempertahankan Semenanjung Gaza”, dengan pertempuran hebat dilaporkan di beberapa bahagian di Bandar Gaza.

Pertempuran disambung semula sejurus selepas tentera Israel berkata, ia memintas roket yang dilepaskan dari Gaza.

Siren amaran kemungkinan tembakan peluru berpandu kedengaran di sekitar beberapa komuniti berhampiran Gaza dalam sejam selepas pertempuran disambung semula, dan pihak berkuasa Israel berkata, ia memulakan semula langkah keselamatan di kawasan itu termasuk menutup sekolah.

Konflik yang diperbaharui mematahkan harapan untuk melanjutkan gencatan senjata selama tujuh hari di mana berpuluh-puluh tebusan dibebaskan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, dan lebih banyak bantuan dapat memasuki Semenanjung Gaza.

Pada Khamis, diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken, bertemu pegawai Israel dan Palestin, menggesa jeda dalam permusuhan dilanjutkan, dan memberi amaran sebarang penyambungan semula pertempuran mesti melindungi orang awam Palestin.

Sumber yang rapat dengan Hamas berkata, kumpulan itu menyokong lanjutan dan pengantara sedang berusaha untuk memanjangkan jeda, tetapi rundingan itu nampaknya gagal.

Tetapi Israel menjelaskan bahawa ia melihat gencatan senjata itu sebagai jeda sementara untuk memastikan pembebasan tebusan.

“Kami bersumpah… untuk menghapuskan Hamas, dan tiada apa yang akan menghalang kami,” kata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam video yang dikeluarkan oleh pejabatnya, selepas bertemu dengan Blinken.

Blinken memberi amaran bahawa mana-mana operasi ketenteraan yang disambung semula oleh Israel mesti melaksanakan rancangan perlindungan awam kemanusiaan yang meminimumkan korban rakyat Palestin.

“Secara khusus, Israel mesti ‘jelas dan tepat’ menetapkan kawasan ‘di selatan dan tengah Gaza, di mana mereka boleh selamat dan keluar dari garisan api’,” katanya.

Badan antarabangsa sudah meminta lebih banyak masa untuk mendapatkan bekalan perubatan, makanan dan bahan api ke Gaza, di mana dianggarkan 1.7 juta orang dipaksa keluar dari rumah mereka.

Gencatan senjata membolehkan orang ramai kembali ke lokasi runtuhan rumah mereka untuk mengutip sisa harta benda dan memberikan rasa selamat selepas pengeboman harian berminggu-minggu.

“Kami takut gencatan senjata akan berakhir, jadi masalah dan pengeboman akan bermula semula.

“Saya harap gencatan senjata diteruskan… supaya keamanan berlaku, dan kita semua pulang ke rumah,” kata penduduk Bandar Gaza, Mohamad Naasan kepada AFP pada Khamis. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat