Hetty bantu mangsa gempa bumi di Cianjur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penderitaan mangsa gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat mendapat perhatian bintang legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, baru-baru ini.

Selain berkongsi simpati dan dukacita terhadap mangsa kejadian menerusi akaun Instagram (IG), Hetty yang lebih akrab disapa Bunda meluahkan hasrat meringankan beban ditanggung mangsa dengan menghulurkan sedikit bantuan.

“Saya dukacita atas musibah yang menimpa mangsa di Cianjur. Melihat keadaan di kawasan ini selepas bencana menerusi berita, saya sangat sedih.

“Masya-Allah, memang tak dapat saya nak bayangkan kerosakan berlaku akibat bencana dan keadaan mangsa yang tinggal sehelai sepinggang.

“Simpati keadaan yang menimpa mangsa, saya berhasrat menghulurkan bantuan. Secara kebetulan, saya akan mengadakan sebuah persembahan amal pada 3 Disember ini.

“Pada mulanya tujuan persembahan dibuat untuk membantu golongan penggiat seni seperti penyanyi dan komposer yang terkesan akibat pandemik COVID-19 atau mereka yang tidak mampu bekerja atas sebab kesihatan.

“Insya-Allah, hasil kutipan jualan tiket konsert didermakan kepada mangsa gempa bumi, termasuk sumbangan peribadi saya sendiri,” katanya kepada BH Online.

Hetty menambah, dia bersyukur niatnya untuk membantu mereka yang memerlukan dipermudah Tuhan.

“Selepas mengadakan konsert sempena 50 tahun dalam industri seni di Kuala Lumpur pada Ogos lalu, saya berniat hanya akan mengadakan konsert berkonsepkan amal sahaja.

“Secara kebetulan, ada penganjur berminat mengadakan konsert di sebuah hotel di Jakarta pada 3 Disember ini, jadi saya ambil peluang melunaskan janji saya.

“Saya bersyukur kerana musibah yang melanda tidak menjejaskan resort percutian saya yang dibina 10 kilometer daripada lokasi kejadian.

“Cuma, ia membabitkan kediaman kakitangan dan keluarga sahaja. Jadi, bantuan juga akan dihulurkan kepada mereka,” luahnya ketika ditemui pada Konsert Final Gegar Vaganza 9 (GV9) yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini.

 

Hetty sedih melihat kerosakan akibat gempa bumi dan keadaan mangsa yang tinggal sehelai sepinggang.
Hetty sedih melihat kerosakan akibat gempa bumi dan keadaan mangsa yang tinggal sehelai sepinggang.

 

Penyanyi yang meledak dengan lagu Berdiri Bulu Romaku itu turut mendoakan mangsa gempa bumi diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi musibah.

“Semoga kalian tabah menerima ujian ini. Kita tidak tahu mungkin ada hikmah tersembunyi di sebalik apa yang terjadi.

“Mudah-mudahan ada rahsia yang lebih indah dikurniakan kepada kalian. Insya-Allah,” ungkap penyanyi bersuara merdu ini.

Menerusi kejadian yang berlaku pada 21 November lalu, sekurang-kurangnya 271 mangsa terkorban dengan kebanyakannya adalah golongan kanak-kanak.

Gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah di Jawa Barat ada kedalaman 10 kilometer dengan gegaran turut dirasakan di Jakarta, di mana bangunan tinggi bergoyang dan mangsa sudah dipindahkan.

Dalam perkembangan lain, Hetty bakal muncul dengan album pop dan keroncong khusus buat peminat yang merindukan karya terbarunya.

“Dalam album ini ada lagu lama dari penyanyi lelaki Malaysia yang akan dirakamkan semula. Lagu ini ada dua versi, iaitu pop dan keroncong.

“Buat masa ini, identiti penyanyi lelaki ini masih dirahsiakan. Tetapi, saya memang meminati lagu nyanyiannya,” ujarnya berahsia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat