Pelajar Malaysia Kongsi Detik Cemas Gempa Bumi Di Turki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Saya tiba-tiba rasa pening dan melihat semua perabot dalam rumah bergoyang sebelum diarahkan rakan supaya keluar dari kediaman melalui balkoni,” kata penuntut Malaysia yang berada di Izmir, Turki, Amelina Syifa Sharizaq Razak, 26.

Dalam kejadian Jumaat lalu, enam terbunuh, manakala 202 lagi cedera dalam runtuhan bangunan di wilayah Izmir, Turki susulan gempa bumi kuat yang melanda Laut Aegea.

Menceritakan semula kejadian itu, Amelina berkata, ketika insiden berkenaan, dia berada di rumah rakannya yang juga rakyat Turki di Izmir jam 2.40 petang.

“Selepas 10 minit, tiba-tiba saya merasa pening dan seluruh perabot bergoyang termasuk kipas siling dan lampu meja.

“Ketika itu, saya hanya tergamam dan berdiri di ruang tamu sebelum rakan saya menjerit dan mengarahkan saya untuk ikut bersamanya keluar melalui balkoni rumahnya yang terletak di tingkat bawah apartment berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Amelina yang juga penuntut tahun lima Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Ege University, Izmir, Turki, berkata, dia dan rakannya kemudian berkumpul di padang berhampiran yang jauh daripada struktur bangunan.

“Saya lihat ramai orang berkumpul di padang berkenaan. Keadaan itu menyebabkan tangan dan kaki saya mengigil kerana takut.

“Selepas bertenang, saya terus menghubungi ibu saya di Perlis untuk memaklumkan dirinya dalam keadaan selamat.

“Beberapa minit kemudian, pasukan penyelamat tiba dan membuat pemeriksaan. Ada ramai penghuni yang mendirikan khemah di padang itu kerana bimbang untuk pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, insiden itu adalah pengalaman pertamanya berdepan kejadian gempa bumi kuat sejak lima tahun berada di negara berkenaan.

“Sebelum ini, memang setiap tahun ada berlaku gempa bumi, namun dalam skala kecil. Ini adalah gempa bumi paling kuat pernah saya alami sepanjang berada di sini.

“Apabila berdepan dengan kejadian itu, saya tiba-tiba menjadi ‘blur’ dan tidak mampu berbuat apa-apa padahal saya sudah didedahkan dengan langkah-langkah berdepan bencana alam oleh pihak universiti sebelum ini.

“Kejadian itu menyebabkan saya kini sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga hingga tidur pun tidak begitu lena kerana bimbang insiden sama berlaku pada tengah malam,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat