Kemenangan ABPBH berbekas di hati Adira

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemanisan diangkat sebagai Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) selama dua tahun pada 2014 dan 2015 masih berbekas di hati penyanyi, Adira Suhaimi.

Penyanyi kelahiran Ranau, Sabah itu berkata, kemenangan tidak akan menjadi kenyataan tanpa bantuan kelab peminat, Adirafansclub yang bertungkus lumus mengundi hingga berjaya membawa pulang trofi berkenaan.

“Sejujurnya, saya langsung tidak menyangka boleh memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular selama dua tahun berturut-turut. Semuanya berkat usaha Adirafansclub hingga saya mencapai kejayaan yang diimpikan setiap penyanyi. Saya amat terhutang budi dengan mereka.

“Kemenangan itu sebenarnya datang bersama tanggungjawab dan ia pernah memberikan tekanan buat saya. Saya kena sentiasa berusaha melakukan yang terbaik supaya peminat nampak gelaran Penyanyi Wanita Popular sememangnya layak diberikan kepada saya. Pada masa yang sama, saya tidak mahu menghampakan peminat yang mengundi,” katanya kepada BH Online.

Sedekad dalam industri muzik, penyanyi lagu Ombak Rindu itu tidak menyangka namanya kembali dicalonkan menerusi kategori yang sama, tahun ini. Hanya kesyukuran mampu dipanjatkan penyanyi kelahiran program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim ke-8 itu.

Selama tiga tahun gagal membolosi senarai top 5 ABPBH, penyanyi berusia 29 tahun itu tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi.

 

Adira Suhaimi terhutang budi dengan kelab peminat, Adirafansclub yang bertungkus lumus mengundi hingga mengangkatnya Penyanyi Wanita Popular, ABPBH pada 2014 dan 2015. - Foto IG Adira
Adira Suhaimi terhutang budi dengan kelab peminat, Adirafansclub yang bertungkus lumus mengundi hingga mengangkatnya Penyanyi Wanita Popular, ABPBH pada 2014 dan 2015. – Foto IG Adira

 

“Saya tak mahu meletakkan harapan yang tinggi, sebaliknya menyerahkan segala-galanya pada rezeki. Namun, saya tetap bersyukur masih berjaya membolosi pencalonan ABPBH 33.

“Saya tidak mempunyai sebarang formula mahupun strategi untuk terus bertahan. Apa yang pasti, selagi peminat menyokong dan menghargai bakat, saya akan memberikan yang terbaik buat mereka.

“Saya juga bersyukur nama belum pudar dalam industri muzik,” katanya.

Katanya, segala-galanya tidak akan menjadi kenyataan tanpa dorongan keluarga dan rakan baik. Tidak dilupakan peminat dan syarikat pengurusan yang banyak membantu menyokong kerjayanya berjalan lancar.

Mengulas debaran menjelang ABPBH 33 yang bakal berlangsung pada 13 November ini, Adira berkata, debaran sememangnya tidak boleh dielakkan setiap kali bertanding mahupun membuat persembahan di pentas.

“Anugerah atau pencapaian cukup penting buat saya. Bukan untuk kepuasan sendiri, sebaliknya ia adalah cara saya menghargai peminat yang menyokong kerjaya selama ini.

“Apabila melihat mereka tersenyum atas pencapaian kita, ia secara tak langsung menaikkan semangat untuk terus aktif dan gigih dengan karya yang terbaik,” katanya.

Mengenai strategi untuk ABPBH, Adira berkata, dia menyerahkan keputusan ke atas tangan peminat.

“Saya tidak merangka strategi, cuma apa yang saya tahu, Adirafansclub membuat undian setiap hari. Setiap undian yang dibuat akan dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat