Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) telah mengesahkan bahawa kemasukan kanak-kanak pintar dan genius, Izz Imil Shahrom,12, sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik, Fakulti Sains UM.
Naib Canselornya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, Izz Imil telah melalui proses temuduga dengan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh UM dan diluluskan oleh Senat Universiti bagi menyambung pengajiannya di UM.
“Memandangkan usia Izz Imil begitu muda, pihak UM memohon semua pihak untuk memberikan ruang dan privasi kepada pelajar tersebut melalui proses pembelajaran dan penyesuaian diri di universiti,”katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
“Perkara ini penting bagi membolehkan beliau dapat melalui proses tumbesaran yang kondusif di samping menjalani pengajian dengan baik,” ujarnya.
Pada 2018 media melaporkan, Izz Imil menghidap autisme tahap sederhana dan hyperlexia ketika usianya 5 tahun begitu cenderung dalam bidang Matematik dan Sains.
Dia memiliki kebolehan menakjubkan apabila berupaya menyelesaikan dan menjawab soalan Matematik dan Kimia Tingkatan Empat.
Menurut laporan media, keupayaan luar biasanya itu dikesan oleh ibunya, Ilyah Abdul Aziz, dan bapanya, Imil Shahrom Abdul Ghani, apabila menyedari Izz menunjukkan minat terhadap angka sejak berusia tiga tahun lagi.
Izz telah terpilih menyertai Pusat PERMATApintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah antara 138 pelajar yang mendaftar di pusat itu bagi sesi pembelajaran pada Januari 2018.
Selepas Izz melalui beberapa saringan, ketika itu tahapnya menyamai kanak-kanak berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun.
Program PERMATApintar diilhamkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dibangunkan dengan kerjasama UKM, dilancarkan pada tahun 2009. -SUARA.TV