DOF Kedah tahan bot pukat tunda ceroboh perairan Taman Laut Pulau Payar

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Kedah menahan empat orang nelayan warga Thailand yang bekerja atas bot pukat tunda Zon C tempatan kerana disyaki menceroboh kawasan perairan Taman Laut Pulau Payar, dekat sini pada Khamis lalu.

Pengarah DOF Kedah, Pang Anak Nyukang berkata bot tersebut telah ditahan pada jam 9.20 pagi oleh lima anggota penguatkuasa Pangkalan Utama Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kuala Kedah menggunakan bot peronda PTL 37.

Menurutnya, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM500,000 telah dirampas dan disita.

“Turut disita hasil tangkapan ikan sebanyak 200kg dan bot tersebut ditahan atas kesalahan bawah Seksyen 8 (b) dan Seksyen 43(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat yang ditetapkan dalam lesen serta menangkap ikan dalam kawasan taman laut.

“Kes ini telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Pejabat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchur untuk siasatan lanjut,”katanya.

“Para nelayan diingatkan agar tidak
mengambil mudah usaha pihak DOF menjaga dan mengawasi perairan taman laut daripada dicerobohi.

“Perairan taman laut perlu dijaga sebaik mungkin agar sumber perikanan terus dapat dipertingkatkan dan hasilnya akan melimpah ke seluruh kawasan perairan negeri ini, ”katanya lagi.

“Hasil peningkatan sumber perikanan ini akan dapat dimanfaatkan oleh 7,609 orang nelayan di negeri ini,”ujarnya.

“Kegiatan pencerobohan nelayan ke kawasan perairan taman laut akan menggagalkan segala usaha DOF dalam menguruskan sumber perikanan secara mapan.

“Semua nelayan perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh DOF agar sumber perikanan ini dapat dikekalkan sampai bila-bila, ” ujarnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat