KUALA LUMPUR- Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau hanya membawa keluar barangan peribadi miliknya dan keluarga dari Seri Perdana.

Bekas Perdana Menteri Keenam itu menegaskan beliau tidak bertindak sesuka hati membawa keluar barang dari kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana.

Sebaliknya Najib memberitahu beliau hanya mengangkat keluar barang peribadi, perabot, hadiah dan cenderamata yang dibeli dengan duit sendiri.

“La… tak sanggup percaya bahawa saya dijadikan alasan PM-8 (Muhyiddin) untuk meluluskan projek ubahsuai dan naik taraf kediaman Seri Perdana.

“Ceritanya begini, selepas kalah PRU14, saya dan keluarga saya diberikan masa beberapa jam sahaja untuk meninggalkan Seri Perdana sebab PM-7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) percaya bahawa ada banyak rahsia tersimpan di sana.

“Pada bulan Ogos 2018, saya tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana. Tapi surat saya tidak dibalas. Pada bulan Ogos 2019 , saya sekali lagi ulang surat untuk permintaan yang sama.

“Setelah 14 bulan kemudian pada 21 Oktober 2020, JPM baru membalas dan menyatakan mereka bersetuju dengan syarat hanya senarai barang-barang termasuk perabot yang dapat dibuktikan adalah dibeli oleh saya dan bukan aset kerajaan dibenarkan,” jelas Najib dalam catatan di Facebooknya.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, senarai tersebut diperiksa dan diluluskan JPM.

“Sehubung dengan itu, JPM pun menulis satu lagi surat pada 18 November 2020 kepada saya untuk suruh saya angkat balik barang-barang peribadi saya seperti dalam senarai muktamad.

“Diberi tempoh masa 2 minggu kepada pihak saya untuk selesaikan pemindahan sebelum 3 Disember 2020.

“Masa itu, staff saya pelik kenapa tiba-tiba kita disuruh untuk ambil balik barang-barang tersebut dengan begitu laju. Rupa-rupanya seorang pengurus baharu Seri Perdana telah dilantik (yang kami diberitahu merupakan saudara PM8) dan mereka memberitahu kita bahawa PM8 ada rancangan untuk menaik taraf Seri Perdana sebab dia mahu pindah ke sana.

“Antara cadangan mereka ialah untuk memperluaskan bahagian dapur sebab mereka kata ruang dapur sedia ada terlalu kecil. Itulah cerita sebenarnya,” ujar Najib.

Tegas beliau, pihaknya hanya dibenarkan untuk keluarkan barang-barangan dari senarai muktamad diluluskan dan diberi JPM, bukan ikut suka hati.

“Hanya mereka yang tertipu dengan manifesto bukan kitab PH (ya, ditulis oleh ketua penerangan PPBM) sahaja yang akan percaya bahawa saya mengambil balik barang peribadi, perabot dibeli sendiri yang sudah lama serta hadiah diberi kepada saya memaksa kerajaan PM-8 untuk luluskan ubah suai serta naik taraf kediaman Seri Perdana dengan jumlah RM38.5 juta oleh seorang yang kononnya tiada niat untuk tinggal di sana.

Habis tu, nak belanja RM38.5 juta untuk apa? Untuk dibiarkan kosong tanpa sesiapa mahu duduk di sana?

“Jangan gunakan saya sebagai alasan sekiranya ianya niat kamu untuk belanja RM38.5 juta untuk kediaman pada ketika sendiri beritahu Rakyat bahawa kerajaan tak ada banyak wang lagi untuk bantu Rakyat.

“Lagipun, perabot-perabot lama dibeli saya yang JPM arahkan untuk kami keluarkan dari Seri Perdana masih simpan di warehouse sebab saya masih berpuas hati dengan perabot saya di rumah saya.

“Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan.Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang warehouse untuk pilih,” beritahu beliau.