KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu beliau tidak pasti sama ada perabot yang dibawa keluar dari Kompleks Seri Perdana sebelum ini sudah didaftarkan senarainya secara terperinci.

Kata Muhyiddin beliau tidak menguruskan perkara itu dan ia di luar tanggungjawabnya kerana sudah ada individu ditugaskan untuk perkara itu.

Pun begitu, bagi memulakan kerja-kerja penambahbaikan, langkah telah diambil bagi memastikan projek itu berjalan.

“Ada beberapa perkara bebangkit, antara perkara itu ialah perabot-perabot, chandelier dan barangan yang ada di kediaman itu dikatakan dimiliki oleh Perdana Menteri Keenam (Datuk Seri Najib Razak).

“Jadi sewaktu saya menjadi Perdana Menteri, saya kata tidak kisahlah kalau itu hak dia, pasal didakwa begitu.

“Maka terserah kepada Jabatan Perdana Menteri untuk berikan kebenaran untuk beliau angkat atau keluarkan barang tersebut,” katanya memetik Astro Awani pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada Khamis.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri Kelapan dalam catatan di Facebooknya berkata, keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.

“Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.

“Untuk memastikan proses baik pulih dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan hasil yang berkualiti, kerja-kerja baik pulih dipantau rapat oleh sebuah Pasukan Petugas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Perdana Menteri.

“Saya percaya Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

“Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh Kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.

“Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang saya berkhidmat sebagai Perdana Menteri.”