JAKARTA, – Menteri Pelindungan Pekerja Migran Indonesia, Abdul Kadir Karding atau lebih dikenali sebagai Mas Karding, muncul dengan kenyataan tegas di laman Instagram beliau yang menimbulkan pelbagai spekulasi tentang siapa sebenarnya berada di belakang gelombang demonstrasi yang melanda Jakarta sejak minggu lalu.
Dalam catatan yang dimuat naik di akaun rasmi beliau, Mas Karding menegaskan bahawa usaha Presiden Prabowo Subianto membersihkan negara daripada mafia pangan, mafia migas dan korupsi di BUMN telah mencetuskan gelombang perlawanan.
Beliau mengingatkan bahawa setiap langkah pemberantasan pasti akan melahirkan tentangan daripada pihak yang selama ini menikmati keuntungan daripada kekacauan sistem.
Unggahan itu menjadi lebih panas kerana disertakan sebuah poster bergambar Presiden Prabowo lengkap dengan sebuah puisi politik yang menyebut nama pengusaha kontroversi, Riza Chalid, tokoh lama dunia minyak yang kerap dilabel sebagai “mafia migas” oleh media Indonesia.
Petikan puisi tersebut berbunyi:
“`Dear Mr. President
Tidak pernah ada pendahulu berani melawan mafia beras Tidak pernah ada pendahulu berani melawan mafia minyak goreng
Tidak pernah ada pendahulu berani melawan mafia migas, Tidak pernah ada pendahulu berani membongkar mafia Reza Chalid dan anak-anak dan kroni-kroninya. Bahkan mereka bersama orang-orang itu mencuri kekayaan Negara.
Tidak pernah ada pendahulu berani melawan korupsi di BUMN Tidak pernah ada pendahulu yang pernah berbicara soal tantiem yang nilainya triliunan setiap tahun, malah semua partai-partai yang pernah berkuasa mereka semua menikmati korupsi di BUMN
Tidak pernah ada orang-orang pintar yang sekarang bersuara, sok berada di barisan rakyat membuka semua masalah-masalah di BUMN, padahal mereka pernah berada di dalam BUMN
Kenapa di saat semua itu Bapak buka dan mulai bersih-bersih, semakin Bapak yang diserang?“`
Melalui puisinya, Mas Karding menegaskan sokongan penuh terhadap agenda “bersih-bersih” Presiden Prabowo dan secara tidak langsung menuding ke arah nama besar yang sering disebut dalam skandal migas negara.
Walaupun beliau tidak menuduh secara terang bahawa Riza Chalid adalah dalang di balik demonstrasi, penyebutan nama itu dalam konteks mafia migas memberi gambaran bahawa aksi jalanan yang semakin ganas boleh jadi dilihat sebagai sebahagian daripada perlawanan kelompok berpengaruh yang sedang tercabar.
Media arus perdana Indonesia sejak beberapa bulan lalu memang banyak mengaitkan Riza Chalid dengan jaringan mafia minyak. Kejaksaan Agung telah menetapkannya sebagai tersangka utama dalam kes korupsi tata kelola minyak mentah dan produk kilang PT Pertamina, dengan kerugian negara dianggarkan mencecah Rp285 trilion, menjadikannya antara skandal migas terbesar dalam sejarah negara.
Malah, laporan Warta Ekonomi dan Kumparan menyebutkan bahawa beliau kini berada di luar negeri selepas ditetapkan sebagai buronan.
Pengamat ekonomi energi dari UGM, Fahmy Radhi, menyebut penetapan tersangka terhadap Riza Chalid sebagai momentum penting untuk merobohkan mitos bahawa mafia migas kebal hukum. Namun, setakat ini belum ada bukti rasmi bahawa beliau terlibat secara langsung dalam menggerakkan demonstrasi jalanan, meskipun naratif di media sosial dan kenyataan politik seperti Mas Karding semakin menguatkan persepsi tersebut.
Kenyataan Mas Karding ini sekaligus menunjukkan bahawa kabinet Prabowo tidak gentar dengan tekanan, bahkan bersedia melawan balik pihak-pihak yang disyaki bersembunyi di balik aksi massa.
Dengan bahasa yang keras dan simbolik, sekutu kuat Prabowo itu menegaskan bahawa agenda bersih-bersih mesti diteruskan walaupun serangan semakin deras, dan rakyat berhak melihat kekayaan negara tidak lagi dikuasai mafia atau segelintir kroni. – SUARA.TV



