Tangan Ghaib China di Sebalik Tuntutan Gas Sarawak? – Laporan Portal Dedah Agenda Fuzhou

KUALA LUMPUR, – Satu pendedahan mengejutkan oleh portal Politikonomi.com hari ini mendakwa kewujudan ‘tangan ghaib Fuzhou China’ di sebalik tuntutan Sarawak untuk menjadi agregator tunggal gas negara. Laporan tersebut mengaitkan penguasaan ekonomi oleh elit Fuzhou yang semakin beralih daripada sektor balak kepada sektor minyak dan gas, dengan menggunakan undang-undang serta rangkaian politik yang kompleks.

Menurut portal itu, gerakan ini bukan sahaja soal “hak negeri”, tetapi didakwa sebagai satu permainan kuasa oleh segelintir elit bagi memastikan kepentingan ekonomi kekal berada dalam genggaman mereka, sekali gus mengorbankan kepentingan rakyat Sarawak dan kestabilan ekonomi negara.

*Ordinan Ghaib dan Strategi Undang-undang*

Antara nama besar yang dikaitkan ialah bekas Peguam Besar Sarawak, JC Fong, yang dikatakan menyusun Distribution of Gas Ordinance (DGO) 2016. Ordinan ini, menurut laporan, meniru kerangka Oil Mining Ordinance (OMO) 1958 bagi memperluaskan kuasa Sarawak sehingga 200 batu nautika dari pantai, bercanggah dengan prinsip Exclusive Economic Zone (EEZ) di bawah undang-undang antarabangsa (UNCLOS) dan Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan undang-undang ini telah dijadikan asas Sarawak menuntut hak sebagai pengawal tunggal pengedaran gas, sekaligus menekan Petronas yang selama ini menguasai sektor tersebut.

*Pengaruh Politik: Awang Tengah dan Dr Sim*

Laporan itu turut mengaitkan gerakan ini dengan sokongan kuat terhadap Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan, yang dilihat sebagai pewaris berpotensi kepada Premier Abang Johari Openg. Sokongan daripada elit Fuzhou ini didakwa bertujuan mengekalkan kesinambungan pengaruh ekonomi mereka.

Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, pula dilapor pernah menyatakan bahawa Sarawak berpotensi menerima pulangan gas mencecah RM10 bilion setahun hasil daripada perjanjian baharu – jumlah yang hampir menyamai sepertiga dividen keseluruhan Petronas kepada kerajaan persekutuan.

*Konflik Kepentingan Ibrahim Baki*

Nama lain yang mencuri perhatian ialah Ibrahim Baki, bekas ahli Lembaga Pengarah Petronas yang kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Sarawak dengan tanggungjawab khusus terhadap Petros. Tindakan ini menimbulkan tanda tanya mengenai konflik kepentingan serta kemungkinan penyalahgunaan maklumat dalaman untuk keuntungan politik dan ekonomi.

Portal tersebut menegaskan, situasi ini boleh dianggap sebagai melanggar prinsip undang-undang fiduciari dan memberi kesan buruk kepada reputasi Petronas di mata pelabur antarabangsa.

*Peranan Shell dan Siti Sulaiman*

Lebih mencetuskan kontroversi, laporan itu mendakwa Shell Malaysia, melalui Pengerusinya Siti Sulaiman yang berasal dari Sarawak, telah bertindak memohon injunksi bagi menahan pembayaran RM523 juta kepada Petronas. Kesan daripada tindakan itu, Petronas dilaporkan menanggung kerugian sekitar RM80 juta sebulan.

Lebih separuh eksekutif kanan Petros juga dikatakan terdiri daripada bekas kakitangan Shell, mewujudkan dakwaan wujudnya “agenda halus” untuk melemahkan kedudukan Petronas dan mengalihkan kepentingan kepada syarikat milik negeri.

*Ancaman Kepada Petronas*

Ketika ini, Petronas sedang bergelut dengan kemerosotan prestasi:

* Hasil merosot 24% kepada RM132.6 bilion.

* Untung selepas cukai jatuh 19% kepada RM26.2 bilion.

* Perbelanjaan modal (capex) berkurangan sebanyak 31%.

Dalam keadaan sebegini, tuntutan Sarawak untuk menjadi agregator tunggal dilihat sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’, menurut portal itu, kerana ia berpotensi menggoncang lagi kestabilan kewangan syarikat minyak negara tersebut.

*Implikasi Politik Nasional*

Pendedahan ini membayangkan isu gas bukan sahaja soal perundangan atau hak negeri, tetapi medan pertarungan antara kepentingan ekonomi elit tertentu dengan kepentingan nasional. Ia juga dikaitkan dengan persaingan dalaman politik Sarawak yang semakin meruncing menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Portal Politikonomi.com menegaskan bahawa manipulasi sentimen kenegerian oleh elit Fuzhou ini boleh mengundang kesan lebih besar – termasuk melemahkan Petronas, menjejaskan ekonomi persekutuan, serta mencetuskan ketegangan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Di saat Petronas berdepan penurunan hasil dan keuntungan, tuntutan Sarawak untuk menjadi agregator tunggal adalah tidak berperikemanusiaan,” tegas laporan tersebut.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat