Monoloque sindir kluster

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kumpulan Monoloque menafikan lagu Selamatkan Legasi yang baru sahaja ditayangkan di laman YouTube bermotifkan politik.

Jurucakap kumpulan, Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annuar berkata, lagu yang dinyanyikan bersama Kimal dan Njwa itu adalah luahan rasa terhadap nilai budaya dan jati diri yang semakin terhakis pada zaman ini.

“Bagi saya, ia bukanlah berunsurkan politik, tetapi lebih kepada luahan selepas melihat ada kluster tertentu yang mula meminggirkan dan mengabaikan jati diri, identiti, seni dan budaya serta bahasa sendiri.

“Apabila orang yang berada di atas tidak menghargai, maka golongan marhaen juga akan terikut-ikut. Apapun kena mula daripada atas. Legasi ini boleh dianggap sebagai gaya hidup dan cara berfikir.

“Tetapi, dalam hal ini ia lebih kepada seni, budaya, bahasa dan identiti yang semakin hilang sejak kebelakangan ini.

“Jika ia datang semula sekalipun, tetap takkan sama dengan apa yang sudah pergi, selain bersesuaian dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut hari ini,” katanya kepada BH Online.

 

Lagu Selamatkan Legasi kolaborasi Monoloque bersama Kimal dan Njwa. - Foto Monoloque
Lagu Selamatkan Legasi kolaborasi Monoloque bersama Kimal dan Njwa. – Foto Monoloque

 

Menceritakan kembali pembikinan lagu Selamatkan Legasi, Loque berkata, ia adalah lagu yang sudah digugurkan daripada album terbaharu yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

“Sepatutnya lagu ini akan dimuatkan dalam album Lagu Perang, iaitu sebuah album yang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Pahang. Bagaimanapun, saya rasa sayang pula mahu membuang lagu ini selepas mendengarnya semula.

“Sebelum ini, lagu Selamatkan Legasi dinyanyikan seorang diri, tetapi sebagai penambahbaikan, saya tampilkan Kimal dari kumpulan Margasatwa dan Njwa. Saya pilih Kimal kerana dia memilki vokal yang unik.

“Walaupun Kimal penyanyi ‘budak baru nak up’ (BBNU), tetapi vokalnya lebih kepada rock. Cuma bezanya apabila menyanyikan lagu bernada tinggi, tarikan suaranya tidak kedengaran seperti penyanyi rock kapak lain.

“Saya percaya, bintangnya akan lebih menyinar bila ada mendapat lagu yang bersesuaian dengan vokal uniknya itu,” ujarnya.

Lagu Selamatkan Legasi sudah merekodkan lebih 2,000 jumlah tontonan sejak ditayangkan Ahad lalu.

Berita  Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat