Murid akan dinilai secara holistik, bukan sekadar prestasi peperiksaan – Radzi Jidin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kejayaan dan kemenjadian murid haruslah dilihat secara holistik dan bukan semata-mata berdasarkan prestasi dalam bidang akademik sahaja.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, justeru, pentaksiran melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) diperkukuh bagi menilai perkembangan murid dalam aspek sukan, kokurikulum, nilai murni, minat dan kecenderungan serta pembentukan sahsiah.

Beliau berkata demikian menjawab soalan berkenaan impak jangka panjang terhadap pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3 di sekolah rendah dan menengah.

Radzi memaklumkan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pentaksiran dan penilaian murid seiring dengan keperluan semasa.

“Dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan, murid ditaksir melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Peperiksaan Pusat.

“Berikutan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun 2022, KPM memberi tumpuan kepada pemerkasaan PBS, melibatkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi),” ujarnya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Jelas beliau, PBS telah diperkenalkan lebih 10 tahun yang lalu, iaitu mulai tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan tahun 2012 di peringkat sekolah menengah.

“Pentaksiran ini bertujuan untuk menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Dalam konteks PBD, guru memantau perkembangan, kemajuan dan penguasaan setiap murid dalam proses pembelajaran mereka termasuk kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

“Dengan ini, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran mereka,” jelas beliau.

Dalam pada itu katanya, pelaksanaan PBD secara berterusan dapat mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai sebagai asas yang kukuh untuk mengikuti pembelajaran di peringkat seterusnya.

“Antara pendekatan dalam pengukuhan PBD bagi murid Tahun 4 hingga Tingkatan 3 mulai tahun 2022 ialah dengan menambah baik pengurusan ujian akhir sesi akademik melalui penyediaan soalan yang setara standardnya oleh KPM.

“Soalan tersebut disediakan oleh guru yang berkepakaran dalam pembinaan item dan disimpan dalam sistem bank soalan yang dibangunkan oleh KPM.

“Untuk tujuan pelaksanaan ujian akhir sesi akademik, pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem tersebut dan ditadbir di sekolah seperti mana ujian akhir tahun sebelum ini. Panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru,” katanya.

Sementara itu, Radzi menyatakan, penambahbaikan kepada ujian akhir sesi akademik ini ialah bagi membolehkan guru dan ibu bapa bersama-sama membantu membangunkan potensi murid bermula daripada peringkat sekolah rendah.

“Dalam mencapai hasrat ini, pelaporan ujian akhir sesi akademik akan digunakan untuk membolehkan intervensi awal dilakukan bagi mengoptimumkan potensi murid.

“Pelaporan ini bukan untuk tujuan perbandingan pencapaian antara murid atau sekolah,” ujarnya.

KPM juga akan menambah baik dan memantapkan kaedah pelaporan PBD.

“Melalui kaedah ini, pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan sesi akademik dan akhir sesi akademik dengan menggunakan deskriptor tahap penguasaan yang komprehensif dan jelas.

“Pelaporan ini juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran. Di samping itu, guru kelas dan guru mata pelajaran akan memberi ulasan dan cadangan intervensi bagi mengoptimumkan potensi murid,” jelas beliau.

Selain daripada pelaporan PBD, katanya, laporan akhir sesi akademik akan turut disertakan dengan pelaporan PAJSK dan PPsi.

“Secara keseluruhan, penambahbaikan pelaporan PBS dapat memberi gambaran mengenai kemenjadian murid secara menyeluruh, komprehensif dan bermakna.

“Pemerkasaan PBS merupakan antara pendekatan KPM untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan untuk murid,” kata beliau.

 

Selain itu, Radzi memaklumkan KPM juga mempergiatkan program latihan untuk pentadbir dan guru bagi meningkatkan kemahiran serta memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah.

“Guru juga akan terus dilatih untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran termasuk penggunaan teknologi digital.

“KPM yakin bahawa pentaksiran yang bersifat holistik dan berterusan melalui PBS merupakan pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu,” ujarnya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat