KUALA LUMPUR- DAP memuji kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku bekas Menteri Besar
dalam melaksanakan pelbagai dasar baru di Selangor telah melonjakkan hasil dan rizab Kerajaan Negeri.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, peningkatan hasil ini membolehkan pelbagai dasar kebajikan untuk rakyat dapat dilaksanakan di Selangor sejak tahun 2008 sehingga sekarang.

“Saya mewakili pucuk pimpinan DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim di atas pemergian beliau.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara.

“Beliau merupakan tokoh korporat yang amat disegani terutamanya peranan beliau dalam pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dari tahun 1979 sehingga 1994,” ucap Loke dalam kenyataannya pada Isnin.

Ahli Parlimen Seremban itu menambah, Allahyarham juga akan dikenang sebagai bekas Menteri Besar Selangor yang memimpin Kerajaan Negeri Selangor selepas gabungan pembangkang menewaskan Barisan Nasional (BN) di Selangor buat pertama kalinya dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008.

“Semoga roh beliau sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Salam takziah,” ucapnya.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, malam tadi.

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat anak dan dua cucu.