SUNGAI PETANI, – Program TikTokers Go Travel: Menjelajah Sungai Petani 2026 menjadi platform bagi memperkenalkan potensi pelancongan di sekitar Sungai Petani, Merbok dan Gunung Jerai menerusi penghasilan kandungan digital oleh influencer serta pencipta kandungan media sosial.
Program selama dua hari itu menghimpunkan penggiat media sosial untuk meneroka pelbagai destinasi pelancongan yang masih kurang dikenali, walaupun mempunyai nilai sejarah, rekreasi dan ekopelancongan yang tinggi.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Bakau Hijau, Merbok, yang menawarkan pengalaman berkayak sambil menikmati keindahan hutan paya bakau Sungai Merbok, iaitu antara kawasan yang mempunyai kepelbagaian spesies bakau tertinggi di dunia serta menjadi habitat kepada beberapa spesies bakau yang jarang ditemui dan terancam.
Peserta turut mengunjungi Permaipura Golf & Country Club yang menawarkan pelbagai aktiviti seperti golf, mini zoo, Paintball Target Shoot, Agro Farm, The AAM Glass House dan ATV, sebelum meneruskan perjalanan ke Gunung Jerai bagi menikmati panorama alam semula jadi serta ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang untuk mengenali sejarah tamadun awal negara.
Selain itu, peserta turut merasai pengalaman memandu go-kart di DSC Karting Circuit serta melawat Lorong Siar Seni Sungai Petani yang semakin popular sebagai lokasi fotografi dan penghasilan kandungan media sosial.
Pengarah Program, Azril Baharudin berkata, penganjuran program itu tercetus daripada hasrat untuk mengetengahkan produk pelancongan Sungai Petani yang masih kurang dikenali masyarakat.
“Ramai mengenali Sungai Petani sebagai destinasi makanan, tetapi tidak ramai mengetahui kawasan ini sebenarnya mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang unik seperti ekopelancongan, sejarah, rekreasi dan alam semula jadi.
“Melalui TikTokers Go Travel, kami berharap lebih ramai pelancong akan datang ke Sungai Petani sekali gus membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat termasuk pengusaha pelancongan, peniaga kecil, pengusaha homestay dan komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Program, Hairul Azwan Zakaria berkata, program tersebut bukan sahaja mempromosikan pelancongan, malah menyediakan platform kepada para influencer untuk menghasilkan kandungan berkualiti tanpa perlu memikirkan aspek logistik dan perancangan.
Katanya, semua lokasi dan aktiviti telah disusun bagi membolehkan peserta memberi tumpuan sepenuhnya kepada penghasilan kandungan kreatif yang mampu memberi impak kepada penonton.
Program itu turut mendapat sokongan daripada Permaipura Golf & Country Club, TKFGR, Geliga Printing dan Revolt Printing sebagai rakan kerjasama dalam usaha mempromosikan industri pelancongan Sungai Petani.
Penganjur berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai rakan strategik, agensi pelancongan dan pencipta kandungan bagi memperkukuhkan kedudukan Sungai Petani sebagai antara destinasi pelancongan utama di utara Semenanjung Malaysia.


