KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mendakwa budaya hipokrasi dan percaturan politik dalam DAP menjadi antara faktor utama yang menyebabkan beliau hilang keyakinan terhadap politik sehingga mengambil keputusan berundur daripada arena berkenaan.
Menerusi satu hantaran panjang di media sosial pada Selasa, Marina berkata ramai sebelum ini menyangka beliau meninggalkan politik kerana dipindahkan ke kawasan lain atau merajuk selepas tidak dicalonkan semula, namun beliau menegaskan tanggapan itu tidak benar.
Sebaliknya, beliau mendakwa satu perbualan dengan seorang pemimpin parti pada 12 April lalu menjadi titik perubahan yang menghilangkan kepercayaannya terhadap politik.
Menurut Marina, dalam pertemuan di sebuah kedai pakaian komuniti di Skudai, pemimpin berkenaan didakwa menyatakan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak menjadi masalah untuk diberikan pengampunan atas jasa yang pernah dilakukan, namun langkah itu lebih sesuai dilaksanakan selepas pilihan raya bagi mengelakkan keyakinan pengundi, khususnya masyarakat Cina, terjejas.
Beliau turut mendakwa pemimpin terbabit menjelaskan strategi mengurus persepsi dalam kalangan ahli parti menerusi Kongres Khas Parti yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Julai sebelum ditangguhkan ke Ogos.
Marina berkata, penjelasan tersebut menimbulkan persoalan besar dalam dirinya sama ada memanipulasi kepercayaan rakyat sudah menjadi sebahagian daripada strategi politik.
“Adakah memanipulasi kepercayaan rakyat sudah menjadi sebahagian daripada strategi politik? Adakah masalahnya kerana aku tidak cukup matang, ataupun kerana penipuan sudah dianggap perkara biasa dalam politik?” tulisnya.
Beliau berkata, hubungan rapat yang dibina bersama penduduk sepanjang menjadi wakil rakyat menyebabkan beliau tidak sanggup berpura-pura tidak mengetahui perkara yang didakwanya didengar sendiri sekiranya rakyat mempersoalkan isu berkenaan.
Marina turut mempersoalkan pendirian DAP yang selama ini masih berusaha meneruskan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN), walaupun menurutnya parti itu sering menjadikan isu melibatkan Najib sebagai bahan serangan politik.
“Jika DAP benar-benar menganggap perkara ini sebagai satu garis merah yang tidak boleh dikompromi, mengapa selama empat tahun mereka tetap mengharapkan kerjasama dengan BN diteruskan?
“Johor sejak awal lagi bukanlah sebuah kerajaan perpaduan. Jika prinsip benar-benar tidak boleh dikompromi, DAP sepatutnya sudah memulakan pemisahan dengan UMNO di Johor sejak dahulu lagi,” katanya.
Beliau turut mendakwa bertemu seorang lagi pemimpin Melayu parti pada 20 Mei sebelum membuat keputusan meninggalkan politik.
Menurut Marina, pemimpin berkenaan meluahkan rasa kecewa kerana mendakwa dirinya sekadar menjadi “pasu bunga” dalam parti, selain tidak banyak dilibatkan dalam proses membuat keputusan walaupun memegang jawatan kanan.
Marina berkata, pengalaman itu mengukuhkan lagi keyakinannya bahawa politik semakin dipengaruhi perebutan jawatan dan kepentingan tertentu berbanding perjuangan asal kepada rakyat.
Beliau turut membidas apa yang disifatkannya sebagai amalan “double standard” apabila sesuatu tindakan yang dahulunya dikritik menjadi boleh diterima apabila dilakukan oleh pihak sendiri.
“Bagi aku, perkara yang paling membimbangkan bukanlah pihak mana yang kita pilih.
“Yang lebih membimbangkan ialah apabila pendirian sentiasa berubah mengikut keadaan, kemudian segala-galanya dibungkus, dijustifikasikan, malah rakyat digalakkan mempercayai apa yang dinamakan sebagai demi kepentingan yang lebih besar,” katanya.
Marina menegaskan beliau mungkin dianggap tidak cukup matang dalam politik, namun berpendapat konsep “kepentingan yang lebih besar” sering dijadikan naratif untuk mempengaruhi emosi dan kepercayaan rakyat.
“Hakikatnya… buah catur itu ialah rakyat. Yang menggerakkan buah catur pula ialah sesetengah ahli politik yang mencari kepentingan tertentu,” katanya.
Setakat ini, Marina tidak mendedahkan identiti mana-mana pemimpin yang dirujuk dalam tulisannya. Dakwaan-dakwaan yang dikemukakan merupakan kenyataan beliau sendiri dan belum mendapat maklum balas daripada pimpinan DAP.


