Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Dato’ Yasmeen Muhamad Shariff meraih undian tertinggi sebagai anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Committee on the Rights of the Child – CRC) bagi penggal 2027–2031.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan berkata pemilihan Yasmeen merupakan pemilihan kali kedua beliau selepas menganggotai Jawatankuasa tersebut bagi penggal 2013–2017, dalam kalangan calon yang bertanding iaitu sebanyak 136 undi daripada 189 Negara Pihak yang hadir.
Pemilihan tersebut telah berlangsung sempena Mesyuarat Negara-Negara Pihak Ke-21 kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York, pada 23 Jun lalu.
KPWKM merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pemilihan Yasmeen menganggotai Jawatankuasa tersebut.
“Kejayaan ini mencerminkan keyakinan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan hak kanak-kanak selaras dengan prinsip-prinsip CRC.
“Ini selari dengan kejayaan Malaysia yang telah menghadiri dengan jayanya Sesi Dialog Konstruktif Bersama Jawatankuasa CRC pada 22 dan 23 Januari lalu di Geneva Switzerland, ”kata kenyataan itu.
Katanya, semasa sesi tersebut, usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Malaysia telah menerima pengiktirafan dan pujian oleh pihak Jawatankuasa. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Malaysia secara berterusan bagi memastikan hak kanak-kanak diperjuangkan.
“Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kefahaman masyarakat antarabangsa mengenai komitmen Malaysia terhadap CRC, KPWKM telah menganjurkan program ‘A Journey of Malaysia’s Participation under the Convention on the Rights of the Child (CRC)’ yang melibatkan wakil diplomatik asing di Malaysia sebagai medium untuk berkongsi usaha dan pencapaian Malaysia, ”katanya lagi.
Ujarnya, pencapaian ini juga merupakan hasil kerjasama erat antara KPWKM selaku kementerian peneraju pelaksanaan CRC di Malaysia dan Kementerian Luar Negeri (KLN) yang telah memainkan peranan penting dalam proses pencalonan serta usaha libat urus antarabangsa yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia.
“Kejayaan ini juga selaras dengan semangat CRC yang menggalakkan penglibatan aktif Negara-Negara Pihak dalam mekanisme dan institusi yang diwujudkan di bawah Konvensyen bagi memperkukuh pelaksanaan serta pemantauan hak kanak-kanak di peringkat antarabangsa.
“Sebagai anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB, Yasmeen akan berkhidmat atas kapasiti peribadi dan bebas.
“Beliau akan menyumbang kepada mandat Jawatankuasa dalam memantau pelaksanaan CRC, melibatkan diri dalam dialog konstruktif bersama Negara-Negara Pihak serta mempromosikan pendekatan berasaskan hak dalam menangani cabaran yang menjejaskan kanak-kanak di seluruh dunia, ”ujarnya lagi.
KPWKM kekal komited untuk terus bekerjasama rapat dengan KLN, agensi kerajaan, rakan pembangunan dan semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh agenda hak kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tambahnya, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang yang saksama untuk berkembang, dilindungi dan mencapai potensi sepenuhnya.
“Dalam landskap global yang semakin kompleks, peranan Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak kekal penting dalam mempertahankan hak, maruah dan masa depan semua kanak-kanak.
“Malaysia mengalu-alukan sumbangan berharga Yasmeen kepada Jawatankuasa tersebut serta kepada usaha antarabangsa yang lebih luas bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV


