Tergesa-gesa setuju mulakan pembangunan bersama dengan Indonesia di Blok Ambalat, Pas tuntut penjelasan di Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa Kerajaan Malaysia sekali lagi mengejutkan rakyat apabila secara tergesa-gesa bersetuju untuk memulakan pembangunan bersama (joint development) di Blok Ambalat dengan Indonesia kawasan perairan yang masih belum dimuktamadkan sempadan maritimnya dan telah menjadi titik pertikaian sejak berdekad lalu.

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, rakyat berhak tahu dan Parlimen wajib diberi ruang untuk menyemak dan membahas segala perjanjian ini secara terbuka.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, kedaulatan negara bukan bahan rundingan tergesa-gesa di luar negara.

“Jangan ulangi kesilapan yang akan menjadi liabiliti besar kepada generasi akan datang,” tegas beliau memberi peringatan.

Mengulas lanjut Fadhli berkata, menurut kenyataan Perdana Menteri di Jakarta, perjanjian ini dibuat atas alasan kononnya isu sempadan boleh mengambil masa “hingga dua dekad” untuk diselesaikan, maka tidak perlu menunggu lagi untuk memulakan kerjasama ekonomi.

“Ini satu bentuk sikap longgar dan tidak bertanggungjawab dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara.

“Sedangkan dalam kenyataan rasmi Petronas yang dilaporkan oleh The Edge pada 17 Jun 2025, syarikat itu sendiri menyatakan akan menghormati moratorium dan tidak akan melaksanakan sebarang aktiviti sehingga mendapat kelulusan penuh daripada Kerajaan Malaysia.

“Malangnya, kerajaan nampaknya lebih ghairah menandatangani persetujuan dengan negara jiran berbanding menjelaskan kepada rakyat sendiri,” bidas wakil rakyat Pas itu lagi.

Ujar Fadhli, blok Ambalat meliputi kawasan lebih 15,000 km² dan dianggarkan mengandungi sehingga 1 bilion tong minyak serta 40 trilion kaki padu gas.

“Potensi hasil ini bukan kecil ia adalah khazanah negara. Maka tindakan membawa masuk Petronas dan Pertamina ke meja “eksploitasi bersama” tanpa sempadan yang jelas adalah sangat membimbangkan.

“Lebih parah, perkara ini diumumkan di Jakarta tanpa sebarang perbahasan di Parlimen, tanpa makluman kepada wakil rakyat, dan tanpa satu pun dokumen didedahkan kepada umum. Adakah kerajaan beranggapan bahawa hasil negara ini boleh dirunding sesuka hati tanpa mandat rakyat?

“Apakah jaminan Malaysia tidak sedang melepaskan haknya sedikit demi sedikit di meja rundingan? Apakah jaminan struktur agihan hasil dan kawalan operasi tidak merugikan kita dalam jangka panjang?

“Kita sedang berdepan dengan sebuah kerajaan yang sanggup mengorbankan prinsip kedaulatan atas nama persepsi diplomasi. Jika moratorium pun tidak dihormati secara konsisten, apa lagi yang akan tergadai selepas ini? soal Fadhli.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Malaysia dan Indonesia akan sama-sama meneroka hasil bumi di kawasan Ambalat iaitu wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara sementara rundingan diteruskan.

Tambah Menteri Luar lagi kedua-dua negara masih berdepan masalah teknikal dalam rundingan berkenaan Ambalat kerana terdapat kawasan yang masih belum dipersetujui kedua-dua pihak.

“Jadi sudah berpuluh tahun begitu (perbincangan sempadan yang masih belum dimuktamad), mengapa pihak kita tidak meneroka hasil bumi di situ bersama-sama (Indonesia),” katanya.

Mohamad berkata, kajian mendapati kawasan berkenaan mempunyai deposit minyak dan gas paling banyak, maka tiada siapa yang untung jika tiada pihak mahu bertolak ansur.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat