Ekspedisi pemancing ‘dihambat’ kapal China di Beting Patinggi Ali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kapal pengawal pantai China dilaporkan sewenang-wenangnya menceroboh perairan kedaulatan negara di Beting Patinggi Ali, Sarawak malah bertindak menghalau kumpulan pemancing tempatan.

Memetik Majalah Sirip, sekumpulan pemancing berkongsi kisah cemas apabila mereka dihambat kapal pengawal pantai China yang tiba-tiba muncul di Bating Patinggi Ali.

Menurut kumpulan pemancing itu, umum biasa dengar pemancing menerokai Luconia dengan bot besar dan mewah, tetapi pernahkah anda dengar bot fiber 33 kaki merentas lebih 100km ke terumbu terpencil di Sarawak ini?

“Ikuti pengalaman getir penulis bersama tekong hardcore Miri, Pak Sudirman Okasa menawan Beting Patinggi Ali di Luconia sehingga dihambat kapal peronda China yang menceroboh perairan kedaulatan negara.

“Peristiwa cemas sepanjang ekspedisi ini apabila apa yang digembar-gemburkan dalam berita ternyata benar.

“Sejak kebelakangan ini, negara dihebohkan dengan laporan kegiatan pencerobohan kapal peronda dari negara China di Beting Patinggi Ali, dan kami saksikannya dengan mata kepala sendiri, malah siap kena hambat lagi! kongsi mereka.

Menurut geng pemancing itu, pada hari ketiga mereka terserempak dengan kapal peronda China.

“Apa yang paling bengang, mereka telah membunyikan hon dan bergerak laju ke arah kami sebagai petanda menyuruh kami keluar dari Beting Petinggi Ali. Sakitnya hati!

“Kapal peronda China berwarna putih itu sangat besar dan panjangnya kira-kira 80 meter. Punyalah jauh mereka sampai ke mari yang diikutkan jaraknya dari tanah besar China tentu berpuluh ribu kilometer.

“Kapal peronda APMM kita kebetulan kelihatan berada berhampiran, lalu tekong bot, Pak Sudirman memandu bot merapati sebelah kapal APMM untuk tumpang berlindung, kemudian kapal peronda China itu pun beredar.

“Fuhhh… memang kerek betul mereka ni, sedangkan Luconia sah perairan kedaulatan negara kita. Patutlah nelayan kita pun makin tak berani masuk Luconia,” katanya.

Kata kumpulan pemancing itu, Luconia ternyata syurga memancing terbaik.

“Cuma yang menjadi tanda soal, adakah kita mampu ke Luconia lagi apabila tekong kental dah balik kampung dan yang lebih parah, apabila sang naga semakin berkuasa di sana.

“Beting Luconia (Luconia Shoals) adalah salah satu terumbu kompleks yang terbesar seperti kepulauan Spratly yang bertaburan meluas di luar perairan barat laut Sarawak-Brunei-Sabah.

“Walaupun ia jelas berada dalam peta Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, namun kebelakangan ini negara super power China telah mempamerkan belangnya dengan berani menceroboh sehingga Beting Patinggi Ali.

“Mereka bukan sekadar datang menangkap ikan, tetapi menunjukkan niat untuk menuntut kawasan lebih luas di Laut China Selatan.

“Kami sendiri nampak kapal peronda mereka, malah cuba menghalau kami. Mujurlah ada kapal pihak keselamatan kita yang sentiasa mengawasi kawasan ‘panas’ itu, dan dapatlah kami terus memancing dengan tenang.

“Kita faham bukan Malaysia sahaja menghadapi kemelut rebutan perairan ini. Jadi kita sama-sama berharap agar jalan penyelesaiannya tercapai secara diplomasi agar situasi tidak melarat sehingga menimbulkan konfrontasi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat