Pemuda UMNO tuntut badan bebas pantau DNB secara menyeluruh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menuntut agar kerajaan mewujudkan badan pemantau bebas (independent oversight body) yang bersih dan telus untuk memantau perancangan keseluruhan serta setiap fasa pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Pengerusi Jawatankuasa Isu Projek 5G dan DNB Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaluddin berkata ini termasuklah proses bidaan, perolehan, pemilihan vendor dan pelantikan kontraktor, mekanisme penentuan harga dan pengurusan kewangan, perundangan dan lain-lain aspek teknikal berkaitan.

Katanya, badan pemantau bebas ini juga bertanggungjawab untuk memantau petunjuk prestasi utama (key performance indicators, KPIs) DNB.

Selain itu kata beliau lagi, Pemuda UMNO juga mengesyorkan agar badan pemantau bebas ini menyediakan laporan secara berkala kepada kerajaan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Parliamentary Special Select Commitee, PSC) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara PAC.

“Keanggotaannya juga termasuklah wakil daripada agensi penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pemuda UMNO percaya melalui peranan yang dimainkan oleh badan pemantau bebas ini akan memastikan wujudnya aspek semak dan imbang (check and balance) serta pemisahan kuasa (separation of power) yang jelas bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti DNB sebagai entiti pelaksana.

“Aspek semak dan imbang serta pemisahan kuasa ini penting memandangkan DNB dan SKMM kini berada di bawah tanggungjawab dan kawal selia kementerian yang sama iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Fairuz juga menyatakan Pemuda UMNO turut menyarankan agar Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengemukakan satu laporan bebas yang menyatakan pendirian dan pandangan mereka mengenai model pelaksanaan 5G oleh DNB.

“Ini bagi memastikan cadangan model dan kaedah pelaksanaan 5G oleh DNB ini tidak membentuk persekitaran yang anti-persaingan, mewujudkan monopoli dan kemungkinan risiko kartel dalam industri telekomunikasi.

“Laporan bebas MyCC mengenai model pelaksanaan 5G negara oleh DNB amat penting dalam merungkai tanggapan wujudnya situasi monopoli dan risiko kartel dalam industri telekomunikasi,” tegasnya.

Fairuz menambah, Pemuda UMNO ingin tegaskan dan mengambil pendirian bahawa segala persoalan, kebimbangan serta cadangan yang diusulkan mengenai pelaksanaan 5G dan peranan DNB adalah semata-mata untuk memastikan kepentingan negara (national interest) sentiasa terpelihara.

Terdahulu, Fairuz memberitahu hari ini Pemuda UMNO telah dijemput oleh Kementerian Komunikasi & Multimedia untuk satu sesi libat urus dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dengan agenda utama iaitu taklimat berhubung Pelaksanaan Projek 5G Negara oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ujarnya, libat urus dan taklimat berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang mewakili Kementerian Kewangan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat