KUALA LUMPUR: Hati luhur, pemurah dan tidak pernah putus asa menjadi antara keperibadian Allahyarham Adibah Noor, 52, yang dikenang.
Perkara itu diakui teman rapat arwah, Zainal Alam Kadir atau lebih mesra dengan panggilan Alam yang mengenali Allahyarham Adibah sejak 28 tahun lalu.
Mengagumi jiwa kental teman baiknya itu, Alam mahu semangat dan sikap arwah dicontohi artis baharu dalam mencari tapak.
“Saya antara individu yang melihat jatuh bangun serta pergelutan arwah sebelum dan selepas menjuarai pertandingan Suara 90-an Nescafe 1994. Kemenangannya belum jadi jaminan untuk arwah terbang tinggi.
“Namun, arwah tidak pernah berputus asa. Sampai suatu tahap apabila tiada pihak yang mahu terbitkan albumnya, arwah usahakan sendiri sampai jadi.
“Saya harap kesukaran dilalui dan semangat kebal arwah dapat dipinjamkan kepada mereka yang mahu memulakan sesuatu… Ini termasuk artis yang mencari tapak,” katanya pada program Bicara BH – Tribute Insan Terlalu Istimewa Allahyarham Adibah Noor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) dan YouTube BH di sini, hari ini.
Alam mendedahkan, arwah naif mengenai kadar bayaran yang sepatutnya dikenakan selepas memenangi Suara 90-an Nescafe dan mula menarik perhatian ramai.
“Saya pernah mengesyorkan kepada seorang kenalan agar mengambil arwah untuk menjadi pengacara dan menyanyi pada kadar bayaran RM5,000.
“Ketika itu, arwah hubungi saya memaklumkan mengenai tawaran ‘job’ dan menangis. Saya tanya kenapa perlu menangis? Arwah membalas tidak pernah mendapat bayaran sebanyak itu.
“Ketika itu, saya terkejut apabila mendapat tahu arwah pernah mengambil tawaran menyanyi dan dibayar antara RM200 ke RM300.

“Selepas tahu kadar harganya, arwah mula berurusan secara profesional termasuk menyediakan invois dan mempunyai syarikat sendiri,” katanya.
Mengimbas detik perkenalan, Alam yang juga bekas editor Hiburan dan Gaya Hidup Malay Mail berkata, dia dan arwah begitu aktif menyertai pertandingan nyanyian dan karaoke pada era 1990-an.
“Ketika itu, saya masih jadi penulis di Unit Ekonomi akhbar New Straits Times (NST). Pada masa sama, saya berminat dalam bidang nyanyian.
“Dalam diam, ada teman mendaftar nama saya memasuki pertandingan di sebuah kelab di ibu negara. Ketika itu, arwah pun bertanding.
“Ketika giliran arwah menyanyikan lagu Goodbye nyanyian Air Supply, saya sudah cuak dan gementar. Saya lihat arwahlah pencabar terdekat.
“Dipendekkan cerita, arwah menang pertandingan itu dan menerima RM1,000 serta piala besar. Saya dapat tempat kedua. Selepas itu, kami jadi akrab dan selalu masuk pertandingan bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, Ani Mayuni yang turut diundang sebagai panelis menyifatkan arwah seperti ‘Kak Long’.
“Ketika bersaing dalam musim kelapan Gegar Vaganza (GV8), kami wujudkan kumpulan WhatsApp di bawah nama Famili Kita. Arwah dalam kumpulan itu umpama ‘Kak Long’ kepada kami.
“Kalau ada apa-apa masalah, kami berkongsi dalam kumpulan itu.
“Cuma ada suatu ketika, arwah mahu mengundurkan diri daripada kumpulan WhatsApp itu. Arwah berpesan kalau ada apa-apa, terus mesej langsung kepadanya.
“Hendak dijadikan cerita, saya dapat tahu arwah sakit dan selalu keluar masuk hospital. Saya ada mesej bertanya keadaan sebenar.
“Arwah maklumkan dia mengalami tumor dan kemudian menyedari menghidapi kanser ovari. Bagaimanapun, arwah meminta perkara itu tidak dihebohkan kepada orang lain,” katanya.
Ani menambah, dia dan arwah pernah membuat persembahan bersama.
“Tetapi hubungan ketika itu atas paksi kerja. Dalam GV8, kami mula jadi akrab. Tapi awalnya, takut juga apabila dengar nama arwah.
“Ada momen di GV, arwah lebih selesa bersendirian. Pada minggu kedua, arwah mula bercampur dengan peserta GV8 lain,” katanya.
Pada 18 Jun lalu, Allahyarham Adibah disahkan meninggal dunia di Hospital Gleneagles di Jalan Ampang, di sini, pada jam 6.30 petang, dipercayai akibat kanser ovari.
Allahyarham yang juga pencinta kucing, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai, di sini, keesokan harinya.
Berita Harian