Oleh Zihan Zari
PEKAN – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memaklumkan, kehadiran ikan spesies asing invasif seperti ikan peacock bass, keli Afrika, baung ekor merah, dan ikan bandaraya kini
semakin berleluasa di sungai-sungai tempatan, mengancam kelestarian biodiversiti.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata spesies asing ini bersifat agresif, membiak dengan begitu cepat dan mampu menyingkirkan spesies tempatan melalui persaingan makanan dan habitat.
Adnan berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Spesies Ikan Asing dan Pertandingan Moh! Tangkap Baung Ekor Merah (BEM) di Pekan Riverfront, Pekan Bandar Diraja Pahang, dekat sini, semalam.
Program ini menyaksikan penyertaan komuniti tempatan dan pemancing dari seluruh negara dalam aktiviti menangkap spesies invasif, khususnya baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides), iaitu spesies dari Sungai Mekong.
Beliau berkata program ini merupakan antara inisiatif berterusan DOF dalam usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman spesies ikan asing invasif terhadap ekosistem perairan darat negara.
“Sejak 2022, DOF telah melaksanakan 17 siri aktiviti memburu ikan asing dan berjaya mengeluarkan lebih 4.4 tan metrik spesies invasif dari perairan negara.
“Selain usaha memburu spesies asing invasif, DOF juga giat melaksanakan langkah-langkah pemuliharaan bagi memulihara ekosistem perairan darat,”katanya.
“Malaysia memiliki lebih 449 spesies ikan air tawar tempatan, antaranya ikan kelah, temoleh, sebarau dan baung sungai yang penting dari aspek ekologi dan ekonomi.
“Merujuk kepada Perangkaan Perikanan Tahunan 2024, hasil tangkapan perikanan darat negara meningkat kepada 9,652 tan metrik bernilai RM190.7 juta berbanding 9,442 tan metrik bernilai RM179.7 juta pada 2023.
“Langkah pemuliharaan seperti pelepasan lebih 38.3 juta benih ikan asli ke perairan umum sepanjang RMK-12, penubuhan 13 santuari perikanan darat, serta penyenaraian spesies ikan asli dalam peraturan perikanan negeri turut dijalankan bagi memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara, ”katanya lagi.
Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Dato’ Mohd Sharim Hj. Md Zain.
Turut hadir, Pengarah DOF Pahang,
Roslan Abu Hassan; Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan DOF, Ruzaidi Mamat; Pengarah Kanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan DOF, Abdullah Jaafar; Setiausaha Majlis Perbandaran Pekan, TPr. Zuraidah Abdul Majid; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Pejabat Daerah & Tanah Pekan, Nazaruddin Mat Ali @ Ibrahim; dan Pengurus Besar ADABI Kuantan Distribution Sdn. Bhd, Abdul Rahim Mohd Nor.
Mohd Sharim berkata, sektor perikanan darat sangat penting kepada keterjaminan makanan negara dan di Pahang sahaja, terdapat lebih 2,703 nelayan darat berdaftar, termasuk 733 orang dari daerah Pekan.
Menurut beliau, peranan mereka perlu diperkasa, antaranya melalui program-program kesedaran dan kawalan spesies asing seperti ini.
Ujarnya, rekod pendaratan ikan air tawar di Pahang pada 2024 menunjukkan peningkatan kepada 2,218 tan metrik bernilai RM64.25 juta, sekaligus membuktikan potensi tinggi sektor ini kepada ekonomi negeri.
Dalam pada itu, bantuan Geran Pemadanan bernilai RM331,400 di bawah Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA) telah disampaikan kepada tiga peserta utama Kluster Rizqi di Kampung Peramu, di sini.
Selain itu, Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) berjumlah RM66,000 turut disampaikan kepada 22 orang nelayan darat daerah ini.
Untuk rekod, program ini dilaksanakan di 13 lokasi strategik seluruh negara sepanjang Mei 2025 ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam, memulihara biodiversiti perairan darat dan menyokong penglibatan aktif komuniti setempat.
Usaha ini dijangka memberi kesan positifterhadap kawalan populasi spesies invasif serta memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara.-SUARA.TV