Lebih 1,000 Hadir Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat Sempena Hari Keputeraan Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 jemaah hari ini menyertai majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Negara di sini pada Khamis.

Majlis yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bermula kira-kira 7 malam dengan bacaan Yasin dan doa selamat dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni sebelum diteruskan dengan solat Maghrib.

Ahmad Zahid kemudian turut bersama-sama jemaah menyertai solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan perlindungan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi cuaca panas susulan peralihan monsun ketika ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Majlis hari ini merupakan sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah pada Isnin ini, yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada 30 Julai 2019.

Esok khutbah khas Jumaat bersempena dengan sambutan berkenaan juga akan diadakan di Masjid Negara. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat