KUALA LUMPUR – Demi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Barisan Nasional (BN) mesti tampil dengan imejnya yang revolusional yakni yang ‘cool but serious and promising’.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan imej itu boleh menerbitkan rasa percaya, dalam kalangan rakyat dan yang boleh menyebabkan rakyat memberikan BN suatu peluang untuk membuktikan bahawa, BN benar- benar ‘sebuah idea yang revolusional’.

“Setelah 48 tahun, amat wajar kita bertanya, bagaimana harus kita ‘reinvent’ jenama Barisan Nasional ini? Atau sekurang-kurang ‘recalibrate’ apa yang kita ada.

“Siapa kita, ke mana kita mahu bawa Malaysia, apa lebihnya kita dengan yang lain. Semua ini adalah perkara yang mesti difikirkan dan dihidupkan kembali dengan nafas baharu.

“Sebabnya mudah. Zaman sudah berubah. Generasi sudah silih berganti.
Masakan BN terus terperangkap dalam ‘nostalgia silamnya’, kata Mohamad dalam ucapan perasmian Konvensyen BN ke-48 di WTC Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu tegas beliau, hanya kerana kita pernah berjaya dahulu, dengan cara sebelum ini, tidak bermakna, kita akan terus berjaya dengan cara yang sama.

“Bila saya bertanya, bagaimana boleh kita mengungkapkan Barisan Nasional, jawapan yang saya terima kebanyakannya ‘standard’.

“Rata-ratanya memberi jawapan, BN adalah parti politik pelbagai kaum. Atau BN adalah parti memerintah. Atau BN adalah gabungan pelbagai parti tetapi dikuasai UMNO.

“Kalau jawapan versi yang lebih teruk pulak, BN dikaitkan dengan ‘gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif’.

“Semua ini sangat membimbangkan. Kita dilihat sebagai satu parti politik dengan ‘status-quo’ yang negatif dan tidak memukau imaginasi,” kata Mohamad lagi.

Justeru, menurut beliau BN mesti mengubah persepsi yang toksik ini. Sangat penting untuk kita, menampilkan BN yang bersifat sezaman, segar dan kalis masa depan.

“Kerana itu, bagi saya, kita mesti mengungkapkan semula BN ini sebagai ‘sebuah idea’ bukan sekadar sebuah perikatan politik.

“Kenapa saya mengatakan BN itu sebuah ‘idea’? Kerana ia mesti berevolusi. Institusi politik itu lumrah nya pegun. Sedangkan idea itu pula sentiasa bertumbuh, bercambah dan membiak.

“BN mesti kita ditamsilkan, sebagai sebuah idea kesepakatan. Idea kesatuan dalam kepelbagaian. Idea tentang ‘multiculturalism, progress and diversity’.

“Kita mesti sinonimkan BN ini, sebagai sebuah pemikiran kesepakatan, dengan budaya dan pendekatan politik yang progresif.

“Bila nanti mereka sebut BN, mereka terbayangkan muhibah. Terbit dalam imaginasi mereka, kesepakatan, keraian kepelbagaian dan pendekatan politik yang sederhana dan maju,” katanya.