BN tolak pedagang politik, calon tak bermoral

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Barisan Nasional (BN) akan tegas menolak sang oportunis politik namun teguh berpegang kepada politik moral.

Kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, perkara yang tidak bermoral tidak akan menang.

Malah tegasnya, apa jua yang bermoral, pasti akan bertahan dan dikenang

“Kita mesti menolak sang oportunis politik. Jangan beri ruang kepada pedagang politik.

“Sebaliknya, buka ruang, sokong dan angkat kepercayaan kepada calon yang berilmu, berakhlak, berprinsip dan memberikan jiwa nurani kepada negara dan bangsa.

Menurut beliau, harus diingat dalam usaha membudayakan politik bermoral, kita sebenarnya tidak pernah berhutang dengan sesiapa.

“Kita tidak perlu berterima kasih kepada sesiapa.. Tidak ada istilah tolak ansur dalam perkara moral.

“Dahulu kita dalam BN berbelas belas komponen. Bila kita kalah, kita cuma tinggal berempat.

“Semua meninggalkan kita, kerana moral, perjuangan dan kesetiaan mereka telah ditafsir dan diubah-ubah mengikut selera dan perut yang tidak pernah kenyang.

“Walaupun kita hanya tinggal berempat, jika kita berpegang pada prinsip, pada politik bermoral, pada landasan dan falsafah yang berpandukan nilai, kita pasti akan menang,” tegas Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Bukan cuma itu, Mohamad juga mencadangkan agar BN menampilkan pemimpin serta calon ‘inter- generational’ dan terangkum.

“Calon dan pemimpin yang kita angkat untuk membawa panji-panji BN, mestilah mewakili pelbagai generasi, latar belakang dan kepentingan yang inklusif.

“Yang berusia dan berpengalaman, kita perlukan, demi hikmah dan kematangan.
Yang pertengahan usia, kita perlukan demi kesediaan untuk mewarisi kepimpinan hari muka,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen BN ke-48 di WTC Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah Mohamad lagi, BN memerlukan strategi bukan imaginasi.

Malah katanya, untuk menang, BN perlukan informasi bukan persepsi.

“PRU-15 ini mesti disandarkan kepada strategi dan berdasarkan maklumat. Segala persediaan, gerak kerja mahupun tawaran kita, mestilah disokong dengan data, disokong dengan pelan, dan disokong dengan pencapaian.

“Kita mesti menghentikan segala usaha menyajikan rakyat, dengan perspektif yang hanya berdasarkan persepsi. Akhirnya kita sendiri menjadi mangsa persepsi. Sedangkan hakikat yang sebenarnya sangat berlainan.

“Cara yang terbaik untuk membetulkan persepsi adalah, dengan melumpuhkannya dengan menggunakan kenyataan yang benar dan sahih,” ujarnya.

Mohamad menegaskan, yakinlah, bahawa rakyat boleh menilai. Rakyat boleh berlaku objektif dan adil. Rakyat tidak akan terpedaya lagi.

“Yang menjadi masalahnya sekarang adalah, apabila kita membiarkan sahaja, segala tohmahan dan persepsi rekaan pembangkang, sampai kepada masyarakat.

“Saya perhatikan dalam banyak keadaan, kita gagal memberikan jawapan dan bidasan. Kalaupun ada, ia lebih bersifat retorik politik dan tidak berobjektif.

“Jika cubaan menjawab dan membidas ini, tidak dilakukan secara strategik dan terancang, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Kita ibarat tikus membaiki labu.
Kita mesti mula untuk lebih banyak menyerang dan ‘offensive’. Bukannya menunggu dan ‘defensive’,” tegas Mohamad.

Timbalan Pengerusi BN itu juga mengingatkan jangan berpeluk tubuh sahaja dan membiarkan BN karam, dalam limpahan serangan bertalu-talu, dari pelbagai sudut oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Pendekatan ‘defensive’ kita selama ini, seolah-olah menggambarkan kita lemah dan salah.

“Saya kadang-kadang berasa sangat kesal, atas sikap berdiam diri kita. Jentera parti-parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan keji lawan kita, dengan radikal dan berkesan.

“Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan. Jadi gunakanlah!

“Pendekatan tunggu dan lihat, dan menjawab hanya apabila diserang ini, mesti segera berakhir. Kita mesti aktif, proaktif dan giat membongkar betapa gagalnya PH dan PN selama ini,” tegas beliau.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat