KLANG: Seorang juruteknik berusia 28 tahun, R Saktygaanapathy, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal pada Ahad lepas, memetik laporan Bernama.
Saktygaanapathy didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, dalam nahas di Jalan Raya Barat, Klang pada 11.47 pagi, 29 Mac lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Khartiyayini kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan lain, Saktygaanapathy mengaku bersalah mengambil dadah dipercayai jenis Benzo dan THC di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada jam 3.30 petang, 29 Mac lalu. Kesalahan ini dibicarakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, dan boleh dikenakan perintah pengawasan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, tidak menawarkan ikat jamin kerana tertuduh juga berdepan pertuduhan bunuh. Saktygaanapathy hadir ke mahkamah tanpa wakil peguam, memakai baju-T putih berkolar dan seluar pendek kelabu, dengan kawalan polis yang ketat. Mahkamah menetapkan 3 Jun depan bagi sebutan semula kes dan penyediaan laporan patologi.
Nor Nadia Abdul Majid, isteri Allahyarham Amirul Hafiz, turut hadir bagi mengikuti prosiding pendakwaan.
Dalam kejadian Ahad lepas, ACP Lim Jit Huey, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, memaklumkan bahawa pemandu kereta berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika melanggar motosikal mangsa. Insiden kira-kira jam 11.40 pagi itu menyebabkan Amirul Hafiz tercampak ke atas bumbung sebuah kereta Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati kereta Honda City dipandu tertuduh laju dan berbahaya, dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.



