KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Dr Ibrahim Ali menyeru orang ramai untuk menghadiri Himpunan Bantah Kenaikan Harga Minyak pada Ahad, 5 April 2026 jam 3 petang di pekarangan pusat beli belah Sogo, di ibu negara.
Tegas beliau, sekiranya orang ramai tidak hadir himpunan tersebut ia seolah-olah memberi lesen kepada Kerajaan Madani untuk terus memijak rakyat.
“Ini bukan lagi isu setakat harga minyak naik. Ini isu sama ada kamu masih manusia yang ada maruah, atau sudah jadi hamba yang reda dipijak setiap kali kerajaan tekan butang naik harga.
“Setiap kali harga naik, mereka beri alasan. Setiap kali kamu mengeluh, mereka beri janji. Tapi hakikatnya satu, kamu terus bayar, mereka terus lepas. Dan semua ini berlaku bukan kerana mereka kuat, tetapi kerana kamu terlalu biasa diam.
“Jangan tipu diri sendiri. Keadaan ini bukan berlaku secara kebetulan. Ini berlaku kerana mereka sudah kenal siapa kamu, rakyat yang marah di mulut, tetapi tunduk dalam tindakan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tegas Ibrahim, negara ini bukan miskin. Negara ini ada minyak. Bila harga dunia naik, negara untung.
“Tetapi kenapa hidup kamu makin sempit? Sebab keuntungan itu tidak pernah sampai kepada kamu dan mereka tahu kamu tidak akan bangkit menuntutnya.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kata negara boleh bertahan sehingga Mei kerana stok minyak harga lama masih ada. Tetapi, tiba-tiba naik sudah tiga kali. Kenapa? Stok lama tidak terjejas dengan harga minyak yang naik lebih USD 100 satu tong. Madani ambil peluang tipu dan peras rakyat.
“Mereka tidak takut kepada suara kamu di media sosial. Mereka tidak takut kepada rungutan kamu di kedai kopi. Mereka hanya takut kepada satu perkara, rakyat yang turun dan berdiri sebagai satu kuasa.
“Dan hari ini mereka sangat yakin satu perkara, kamu tidak akan turun himpunan 5 April. Sebab itu mereka berani tekan lagi.
“Hari ini diesel. Esok barang dapur. Lusa keseluruhan kos hidup. Ini bukan ramalan, ini hukuman yang sedang bergerak perlahan ke arah kamu, dan kamu hanya melihat tanpa berbuat apa-apa.
“Jangan tanya kenapa hidup makin sempit. Jawapannya ada pada diri kamu sendiri kerana setiap kali peluang untuk bangkit datang, kamu memilih untuk diam.
“5 April bukan sekadar satu himpunan. Ini adalah garis pemisah antara rakyat yang masih ada harga diri, dengan mereka yang sudah reda hidup sebagai hamba tanpa suara.
“Jangan tunggu orang lain. Jangan tunggu keadaan jadi lebih teruk. Kerana setiap saat kamu menunggu, mereka sedang merancang tekanan seterusnya untuk kamu dan keluarga kamu.
“Jika kamu tidak hadir, mesej yang kamu hantar sangat jelas, “buatlah apa sahaja kepada aku, aku akan tetap diam,” selar beliau.
Tambah Ibrahim lagi, apabila harga terus naik, bila hidup terus menghimpit, bila anak kamu membesar dalam tekanan yang sama, jangan salahkan sesiapa. Kerana pada saat kamu dipanggil untuk berdiri, kamu sendiri yang memilih untuk duduk.
Menurut beliau, ini bukan soal politik. Ini soal maruah seorang manusia yang tidak sanggup lagi hidup dipijak tanpa had.
“Kita tidak menyeru kepada kekacauan. Kita menyeru kepada keberanian. Turun dengan aman, dengan disiplin, tetapi dengan satu mesej yang tidak boleh dipadam, cukup sampai di sini kami diperhambakan.
“Pada 5 April, di hadapan Sogo, kamu tidak turun sebagai penyokong mana-mana pihak. kamu turun sebagai rakyat yang sudah sedar bahawa diam adalah pengkhianatan terhadap diri sendiri dan masa depan anak cucu.
“Sejarah tidak akan peduli alasan kamu. Sejarah hanya akan mencatat dua jenis manusia, mereka yang bangkit, dan mereka yang memilih untuk bersubahat dengan cara diam.
“Dan jika pada hari itu kamu masih memilih untuk tidak hadir, maka hakikatnya sangat jelas, bukan kerajaan yang paling bersalah, tetapi kamu sendiri yang merelakan diri untuk terus dipijak.
“Di Sarawak dan Sabah harga jauh lebih rendah. Semenanjung bukan rakyat Malaysia. Vietnam dan Thailand tidak ada minyak tapi harga lebih murah dari Malaysia.Harga minyak Malaysia tertinggi di dunia. Madani Haprak.
“Orang yang memilih diam ketika dipijak, sebenarnya bukan mangsa tetapi rakan subahat kepada penindasan itu sendiri,” seru beliau.



