KUALA LUMPUR – Keluarga mangsa yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk pada Ahad lalu merancang untuk menuntut pampasan lebih RM1 juta demi keadilan kepada isteri, Nur Nadia Abdul Majid dan tiga anaknya yang kini hilang tempat bergantung dan kasih sayang seorang bapa.
Peguam yang mewakili keluarga, Mohd Faizi Che Abu berkata, tuntutan tersebut berdasarkan prinsip undang-undang dan ketetapan seperti kes-kes sebelum ini.
Menurutnya, bagaimanapun jumlah pampasan sebenar akan ditentukan berdasarkan pengiraan gaji, sumbangan arwah dan tanggungan keluarga.
“Ia ada pengiraan. Dari segi undang-undang memperuntukkan berapa sumbangan diberikan arwah (kepada keluarga mereka sebelum ini). Kita akan buat pengiraan dari segi gaji, sumbangan dan tanggungan dan penggandaan kepada berapa umur.
“Semua itu ada formula dan saya berbincang (dengan keluarga). Tetapi kita ada angka. (lebih RM 1 juta) Mungkin dalam jumlah tersebut. Insya-Allah,” katanya memetik Utusan di Klang pada Rabu.
Faizi menambah, beliau akan mewakili keluarga sepanjang prosiding kes tersebut selain menasihati kes jenayah dan tindakan sivil yang akan diambil nanti.
“Keluarga berpuas hati, pada asalnya kita ingatkan pertuduhan di buat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mabuk dan sebagainya. Tetapi, alhamdulillah pihak pendakwaan mengambil pendirian yang tegas untuk mengenakan pertuduhan bunuh.
“Bagaimana bukti itu kita serahkan kepada pihak pendakwaan dan mahkamah tentukan. Kita menghormati dan menghargai keputusan diambil pihak pendakwaan dalam kenakan pertuduhan hari ini,” jelasnya.
Terdahulu, pemandu mabuk yang menyebabkan kematian Allahyarham Amirul Hafiz Omar pada Ahad lalu, dituduh membunuh, di Mahkamah Majistret Klang.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap R. Saktygaanapathy yang mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Amirul Hafiz, 33, sebelum ini dilaporkan maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta pada pukul 10.40 pagi.
Lebih menyayat hati, insiden itu berlaku ketika Amirul keluar bagi membeli buku matematik untuk anak sulungnya.
Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa.



