CYBERJAYA : Tragedi kemalangan jalan raya kelmarin yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal, Mohd Amirul Hafiz, 33, meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarganya tetapi juga masyarakat sekeliling. Arwah meninggalkan tiga anak yang masih kecil, termasuk seorang berusia 2 tahun dan dua lagi yang sedang bersekolah rendah.
Dalam satu panggilan video bersama ibu arwah, Puan Faridah, beliau berkongsi bahawa arwah adalah seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga. Kehilangan ini menyebabkan keluarga berdepan cabaran besar, khususnya dari segi penjagaan dan pendidikan anak-anak yang ditinggalkan.
Sebagai tanda keprihatinan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah mengambil keputusan untuk menjadikan dua anak arwah, Aqif dan Atif, sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran MARA. Langkah ini bertujuan memastikan pendidikan mereka terbela melalui bantuan elaun bulanan RM120 seorang di peringkat sekolah rendah, dan meningkat kepada RM150 apabila melangkah ke sekolah menengah, disertai pemantauan berterusan sehingga tamat persekolahan.
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan mesej kepada Aqif dan Atif agar terus kuat, tabah, dan menumpukan perhatian kepada pelajaran demi menjadi kebanggaan keluarga. Sementara itu, penghargaan turut disampaikan kepada Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff, Ketua UMNO Bahagian Larut, dan Tuan Haji Faisalludin bin Mohamat Yusuff, CEO Yayasan Pelajaran MARA, yang hadir mewakili beliau bagi menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa.



