CYBERJAYA – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia meningkat ketara kepada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April, susulan pelarasan mengikut mekanisme harga automatik (APM).
Kenaikan sebanyak 50 sen berbanding minggu sebelumnya itu berlaku ketika pasaran tenaga global terus berdepan tekanan, khususnya akibat konflik berpanjangan di Asia Barat.
Dalam tempoh sama, harga RON95 kekal tidak berubah pada RM1.99 seliter (bersubsidi) dan RM3.87 seliter (tanpa subsidi). RON97 pula mencatatkan penurunan kepada RM4.95 seliter berbanding RM5.15 sebelum ini.
Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, harga diesel masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan menjelaskan lonjakan harga minyak mentah dunia, termasuk minyak Brent yang meningkat lebih 40 peratus melepasi AS$100 setong, menjadi antara faktor utama kenaikan harga bahan api. Selain itu, harga produk petroleum bertapis seperti petrol dan diesel turut melonjak tinggi, sekali gus memberi tekanan kepada harga runcit di pasaran tempatan.
“Kerajaan komited untuk memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global.
Sejak krisis Asia Barat meletus, kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di pam dan masih menampung sebahagian kos subsidi,” menurut kenyataan Kementerian Kewangan.
Dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan, kerajaan turut menetapkan had pengisian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Had maksimum ditetapkan seperti berikut:
-
50 liter bagi kenderaan ringan persendirian dan komersial kecil
-
100 liter bagi kenderaan awam dan barangan bawah tiga tan
-
150 liter bagi kenderaan melebihi tiga tan
Sebagai langkah sokongan, bantuan tunai tambahan di bawah inisiatif Budi Diesel sebanyak RM100 akan diteruskan pada April, menjadikan jumlah keseluruhan RM300 kepada penerima yang layak termasuk kategori individu dan agri-komoditi.
Kerajaan juga sedang menilai pendekatan jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi bahan api lebih mampan dan bersasar, mengambil kira ketidaktentuan pasaran tenaga global.



