PM lulus peruntukan tambahan RM14 juta bagi Projek ICQS Wang Kelian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian di Perlis.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook hari ini, Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan yang mendesak untuk menyelesaikan segera isu kesesakan di pintu masuk negara.

Permohonan peruntukan tambahan itu dibangkitkan oleh Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli semasa Perdana Menteri mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Perlis bersempena dengan lawatan ringkasnya ke negeri itu hari ini.

“Menteri Besar Perlis turut membangkitkan permohonan peruntukan tambahan bagi Projek ICQS Wang Kelian, mesin pengimbas di Pelabuhan Darat Perlis serta peruntukan mengurus bagi kerajaan Perlis,” kata Perdana Menteri.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mufti Perlis dan ketua jabatan serta agensi kerajaan pusat dan negeri yang terlibat.

Menurut Anwar, perbincangan selama satu jam menyentuh pelbagai isu dan keperluan pembangunan di Perlis antaranya projek Dataran Kuala Perlis, Pasar Pelancongan Kuala Perlis, pembinaan jalan bagi menghubungkan Jalan Pesisiran Pantai (R152) ke Kuala Sanglang serta penyelenggaraan gerai dan kios di seluruh negeri itu.

“Saya juga singgung potensi negeri Perlis sebagai destinasi pelancongan dan bagaimana negara kita berbelanja tinggi untuk menanggung kos subsidi harga barang asas, namun harga makanan di negara kita masih lebih mahal berbanding di destinasi pelancongan negara jiran,” katanya.

Anwar berkata beliau percaya jika ada usaha untuk mengatasi masalah berkenaan, lebih ramai pelancong akan datang ke destinasi pelancongan di Perlis. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat