KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa berkongsi foto lima pimpinan tertinggi UMNO yang dirasakan berpotensi mengisi jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pasca PRU-15 akan datang.
Malah beliau sendiri juga termasuk dalam lima tokoh UMNO tersebut yang diarasakan layak memegang jawatan orang nombor dua negara itu.
Selain Annuar sendiri, beliau turut memuat naik foto Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dalam satu hantaran terbaru di laman Facebooknya, Menteri Wilayah Persekutuan itu mencatat satu status yang iaitu “calon Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dari UMNO PRU-15”.
“Ramai yang tak putus-putus bertanya siapa calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari UMNO PRU akan datang? Saya lihat ini secara positif. Ertinya ramai yang masih melihat UMNO antara parti yang perlu menampilkan calon pemimpin utama negara.
“Suka saya nyatakan UMNO ada caranya sendiri. Usah terlalu khuatir,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, UMNO parti yang mempunyai tradisi dan perlembagaan sendiri.
Jelas beliau, Perlembagaan UMNO menetapkan tempoh memegang jawatan dihadkan kepada tiga tahun sahaja.
“Pemilihan yang lalu pada 30 Jun 2018. Tamat tempoh tiga tahun pada Jun 2021.
“Sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan dan amat teguh bergantung pada suara akar umbi, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan semula kepada akar umbi menentukan kepimpinan.
“Insyaallah,calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari UMNO akan diputuskan sekitar Jun ini menerusi pemilihan oleh ahli UMNO sendiri.
” UMNO akan memilih seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai segala sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bila tiba masanya,” kata Annuar.