Terkesan OPR: Peminjam Boleh Struktur Semula Pinjaman – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Peminjam yang terkesan dan menghadapi kesulitan membayar balik pinjaman susulan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh memohon program penstrukturan semula bayaran balik pinjaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peminjam terkesan boleh memohon daripada bank masing-masing melalui pengurangan ansuran bulanan dan pelanjutan tempoh bayaran balik yang bersesuaian dengan keadaan kewangan.

Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, justeru peminjam yang terkesan digalakkan menghubungi institusi kewangan masing-masing bagi membolehkan pakej bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan dan situasi kewangan peminjam ditawarkan.

“Antara usaha kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu peminjam yang terkesan dan menghadapi kesulitan untuk membuat bayaran balik pinjaman lanjutan peningkatan OPR adalah dengan menawarkan program penstrukturan semula bayaran balik pinjaman,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan usaha kerajaan dalam membantu rakyat yang terbeban dengan kenaikan OPR.

Pada masa sama, Anwar berkata, peminjam juga boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) seperti Program Pengurusan Kredit dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS).

“Bagi peminjam individu, Program Pengurusan Kredit boleh membantu peminjam untuk menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman), Anwar berkata, Kementerian Kewangan tidak boleh campur tangan dalam sebarang keputusan membabitkan dasar monetari.

Beliau berkata, ia seperti yang termaktub dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang memperuntukkan tanggungjawab membabitkan dasar monetari kepada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dan BNM.

“Dalam hubungan ini, MPC merumuskan dasar monetari secara autonomi bagi mengekalkan kestabilan harga serta memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan pada masa hadapan.

“Amalan ini diguna pakai hampir di seluruh dunia dan wujud keperluan bagi sebuah badan berkecuali dan bebas seperti bank pusat merumuskan dasar monetari secara autonomi dan objektif supaya keputusan mengenai kadar dasar.

“Ia termasuk keputusan yang mungkin tidak digemari oleh sesetengah segmen rakyat, boleh diambil untuk kepentingan seluruh ekonomi dalam jangka panjang, dan bukan hanya untuk kebaikan sebahagian segmen sahaja,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu termasuk mengelakkan turun naik kitaran melampau (boom and bust) dalam ekonomi yang hanya akan menimbulkan kesan negatif ke atas kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat