Bekas Menteri Luar Bimbang Perubahan Dasar 5G Jejas Keselamatan Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman melahirkan kebimbangan akan berlaku ancaman kepada keselamatan negara sekiranya kerajaan tidak berhati-hati menangani spektrum internet generasi kelima (5G).

Dalam kenyataan media yang melahirkan kebimbangan dan kesedihan mengenai peperangan di Ukraine, Anifah turut mengingatkan kerajaan mengenai penilaian risiko keselamatan Malaysia sendiri terutama membabitkan aspek digital.

Menurut Anifah isu keselamatan 5G benar-benar membimbangkan kerana terdapat usaha membenarkan penyedia teknologi 5G berkait dengan kuasa besar yang sentiasa menceroboh perairan negara sehingga menjejaskan kehidupan dan mata pencarian terutamanya bagi penduduk Sabah.

Walaupun tidak menyebut secara langsung, bekas Menteri Luar itu dipercayai merujuk kepada lobi beberapa pihak untuk kerajaan mengubah dasar 5G negara bagi membolehkan sebuah syarikat 5G dari China turut menyertai industri ini. Syarikat terbabit telah dikeluarkan dari beberapa negara atas dakwaan pengintipan melalui 5G.

“Perlu diingat, industri telekomunikasi telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan dengan evolusi ini muncul cabaran baharu seperti risiko keselamatan siber, yang menjadi semakin canggih dan saling berkaitan dengan sektor lain termasuk kewangan, pengangkutan, ketenteraan dan infrastruktur kritikal yang lain. Dengan peningkatan kehadiran keganasan dan peperangan siber, adalah penting untuk kita mempunyai infrastruktur digital yang kukuh dan selamat. Kerajaan tidak boleh membiarkan kerakusan sesetengah pihak meletakkan keselamatan digital kita pada risiko yang teruk,” tegas Anifah dalam kenyataan media beliau semalam.

Menurut Anifah lagi, perang siber yang meluas yang digunakan oleh Rusia perlu memberi kesedaran kepada pembuat polisi negara ini agar meningkatkan keselamatan infrastruktur kita dalam menghadapi sebarang kemungkinan serangan siber atau kempen maklumat salah.

Dalam kenyataan yang sama Anifah turut menggesa Kerajaan Malaysia harus mengambil sikap yang lebih tegas dalam menggesa semua pihak yang terlibat menghentikan pencerobohan mereka dan komited kepada rundingan damai.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat