Pemimpin UMNO Dipecat, Digantung Wajar Diberi Peluang Kedua – Hairi

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Semua bekas pemimpin dan ahli UMNO yang dipecat atau digantung wajar diberikan peluang kedua untuk bertaut kembali bersama parti.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, tindakan pemecatan serta penggantungan yang dikenakan itu sesuatu yang normal bagi sesebuah parti, khususnya apabila membabitkan isu percanggahan dengan presiden.

“Saya harap semoga persefahaman bertaut kembali melibatkan mereka yang digantung dan dipecat ini. Saya menyeru pucuk pimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sama ada yang dipilih atau bakal dipilih nanti mengembalikan semula figura-figura ini.

“Jadikan ini sebagai pengajaran kepada semua, tak semua orang boleh serang presiden sesuka hati dan janganlah sepahkan rumah kita sendiri, sebaliknya duduk semeja dan berbincang. Saya anggap bagi yang telah dipecat dan digantung, janganlah patah semangat dan teruskan perjuangan, saya yakin ada ruang dan peluang untuk ‘bertaut’ kembali,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Rumah Pangsa Larkin, di sini hari ini.

Minggu lalu, UMNO memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar serta menggantung keahlian beberapa pemimpin, antaranya bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Dalam pada itu, Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin mengakui memahami keputusan yang diambil parti itu terhadap para pemimpin berkenaan.

“Bagi saya, itu normal dalam semua parti, ada yang setuju dan ada yang tak setuju. Jika saya di tempat Presiden yang sentiasa diasak bertubi-tubi walaupun untuk buat kebaikan, merejuvinasikan parti tapi dihalang, saya rasa saya mungkin ambil tindakan yang sama.

“Jangan kata UMNO sahaja, ia turut berlaku kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam PKR dan Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu dalam Pas. Mereka turut menerima nasib sama kerana berbeza pandangan dengan Presiden dan kami di Pergerakan Pemuda UMNO menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh Presiden mahupun MKT,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad atas kepimpinannya selama lebih empat tahun yang banyak membantu Pergerakan Pemuda UMNO Johor.

“Datuk Seri Hasni banyak berjasa kepada pergerakan Pemuda UMNO Johor dalam memberikan pandangan serta bantuan dalam pelbagai aspek. Pertukaran ini adalah kehendak pucuk pimpinan parti bahawa Presiden ada kuasa melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

“Saya mewakili Perwakilan Pemuda UMNO Johor ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengambil alih jawatan itu,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat