SIBURAN – Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan supaya tidak terlalu yakin atau overconfident meskipun gabungan itu sudah mencatat sejarah apabila menang tanpa bertanding di 29 kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, GPS perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan sekurang-kurangnya 76 kerusi, dengan sasaran lebih besar iaitu 82 kerusi bagi membolehkan gabungan itu meneruskan agenda pembangunan negeri, termasuk Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata, kejayaan menang tanpa bertanding di 29 kerusi tidak seharusnya menjadikan jentera parti berasa selesa, sebaliknya perlu menjadi pemangkin untuk memastikan kemenangan di kawasan yang masih dipertandingkan.
“Yang utama saya kira ialah untuk jentera GPS jangan overconfident. Kita dah menang tanpa bertanding 29.
“Sebenarnya kita memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 76. Kalau dapat 82, lebih baik.
“Kita perlu pastikan kemenangan 82 supaya kita boleh meneruskan perjuangan menerusi PCDS 2030 dan selepas itu merancang pula masa depan Sarawak,” katanya.
Fadillah berkata, setiap kemenangan yang diperoleh calon GPS merupakan amanah besar yang disertai tanggungjawab untuk memenuhi harapan rakyat, bukannya sekadar memberikan kelebihan atau populariti kepada seseorang wakil rakyat.
Menurut beliau, kemenangan besar, termasuk tanpa bertanding, sepatutnya meningkatkan tanggungjawab wakil rakyat untuk memastikan segala keperluan dan harapan pengundi dapat dipenuhi.
“Siapa-siapa pun yang berjaya dalam GPS, kemenangan adalah satu amanah. Amanah itu ada tanggungjawab.
“Bila kita memikul tanggungjawab itu, kita kena memahami expectation daripada pengundi dan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, antara tanggungjawab utama wakil rakyat ialah menunaikan janji untuk membawa Sarawak ke tahap lebih maju dan makmur, selain memastikan rakyat mendapat pelbagai bentuk bantuan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup.
“Kemenangan ini bukan privilege, bukannya untuk kita menjadi seorang yang popular, tetapi untuk kita memikul amanah. Dengan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita, kita akan laksanakan dengan sebaik-baiknya,” kata Naib Yang di-Pertua Kanan) dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu.
Mengulas strategi politik GPS, Fadillah menegaskan gabungan itu akan bertanding menggunakan tiket sendiri di Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, keputusan mengenai bagaimana GPS membentuk gelombang di peringkat nasional akan ditentukan kemudian.
“Memang sudah jelas. Kalau di Sarawak, GPS akan bertanding atas tiket sendiri.
“Bagaimana kita nak bentuk gelombang di peringkat nasional, itu nanti kita putuskan. Biar pilihan raya dulu,” katanya.



