KUALA LUMPUR– Akses digital serta peluang ekonomi komuniti terus diperkasa apabila jumlah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) melonjak kepada 1,099 pusat di seluruh negara tahun ini, mencatat peningkatan ketara sebanyak 20.6 peratus berbanding 911 pusat pada 2022.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyifatkan pertambahan 188 pusat digital komuniti baharu dalam tempoh empat tahun itu sebagai pemangkin utama dalam merapatkan jurang digital rakyat.
“Lebih banyak NADI, lebih banyak peluang untuk rakyat.
“Akses digital, latihan kemahiran dan peluang keusahawanan semakin dekat dengan komuniti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Berdasarkan infografik Kementerian Komunikasi yang dikongsikan beliau, rangkaian pusat tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) pada 2022 telah diperluas secara agresif hingga mencapai 1,099 Pusat NADI pada tahun ini.
Langkah peluasan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan komuniti setempat tidak ketinggalan menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi, sekali gus membuka lebih banyak ruang penjanaan pendapatan menerusi ekonomi digital.


