KUCHING – Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-13, pada Sabtu.
Kemenangan itu menyusul selepas pencalonan calon Bebas, Sahari Pet, 75, ditolak berikutan kegagalannya menandatangani dokumen pencalonan yang ditetapkan.
Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi bahagian Gedong Jamain Wahab mengesahkan pencalonan Sahari tidak diterima, sekali gus menjadikan Abang Johari calon tunggal yang layak bertanding bagi kerusi berkenaan.
Sahari tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Gedong kira-kira jam 8.16 pagi dengan diiringi pencadang, Rambli Jamain, dan penyokongnya, Johnnie Sahari.
Abang Johari pula tiba kira-kira jam 8.43 pagi bersama pencadang Datuk Seri Naroden Majais, serta penyokong, Penghulu Francis Kuncie.
Ketibaan beliau disambut ribuan penyokong yang memenuhi perkarangan pusat penamaan calon.
Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi dan berakhir sejam kemudian, pada jam 10 pagi.
Keputusan itu membolehkan Abang Johari mengekalkan kerusi Gedong tanpa perlu berdepan pertandingan dalam PRN Sarawak kali ini.



