KUCHING – DAP Sarawak menegaskan akan menentukan sendiri jumlah kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, termasuk pemilihan calon dan penggunaan logo parti, tanpa campur tangan kepimpinan pusat.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen berkata, pendirian itu dipersetujui dalam perbincangan bersama Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, susulan keputusan PKR menarik diri daripada PRN Sarawak.
Beliau berkata, autonomi DAP Sarawak dalam menentukan perkara berkaitan negeri itu bukan satu konsesi baharu, sebaliknya prinsip yang sekian lama dipertahankan parti berkenaan.
“Dalam semangat demokrasi, DAP Sarawak mengekalkan pendirian untuk bertanding di mana-mana kerusi yang diputuskan bagi menghadapi PRN akan datang.
“Perkara berkaitan Sarawak diputuskan sepenuhnya oleh DAP Sarawak. Ini termasuk jumlah kerusi yang ditandingi, pemilihan calon serta penandatanganan watikah untuk bertanding menggunakan logo DAP.
“Semua keputusan ini dibuat di Sarawak oleh DAP Sarawak sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Chien Jen berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP turut mengesahkan penghormatan penuh terhadap autonomi berkenaan dan akan mematuhi aturan itu dalam parti.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata semua pemimpin DAP bukan berasal dari Sarawak yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri di peringkat Persekutuan tidak akan terbabit dalam kempen PRN Sarawak.
Katanya, keputusan itu dibuat selaras dengan semangat Kerajaan Madani serta menghormati rakan gabungan politik di peringkat Persekutuan.
“DAP Sarawak akan menerajui kempen di lapangan dengan menggunakan kepimpinan, anggota serta mesej kami sendiri.
“Rekod perkhidmatan dan komitmen kami terhadap rakyat Sarawak akan menjadi ukuran,” katanya.
Beliau berkata, DAP Sarawak akan menggerakkan jenteranya sendiri bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.



