Loji jana kuasa arang batu terakhir di Malaysia dijadual tamat operasi pada 2044

KUALA LUMPUR – Loji jana kuasa arang batu terakhir di Malaysia dijadualkan menamatkan operasi pada 2044, selaras dengan usaha kerajaan melaksanakan peralihan tenaga secara berperingkat bagi mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata kerajaan tidak akan membangunkan loji jana kuasa arang batu baharu, manakala operasi loji sedia ada akan ditamatkan secara berperingkat selaras dengan tamat tempoh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).

Pada masa sama, kerajaan akan mengekalkan peranan gas asli sebagai bahan api peralihan bagi menjamin kestabilan dan keselamatan bekalan elektrik negara.

Kerajaan turut memperluas pembangunan tenaga boleh baharu (TBB), Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) serta pemodenan infrastruktur grid bagi mencapai sasaran 70 peratus kapasiti terpasang TBB menjelang 2050.

Langkah strategik berkenaan dilaksanakan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Malaysia tidak mengambil pendekatan untuk menghentikan penggunaan semua bahan api fosil secara serta-merta.

“Sebaliknya, peralihan ini perlu dilaksanakan secara adil, berperingkat, teratur dan bertanggungjawab dengan mengambil kira keadaan, keupayaan serta tahap pembangunan setiap negara,” menurut jawapan bertulis NRES di Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas mengenai pendirian Malaysia berhubung desakan antarabangsa untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil, khususnya arang batu, minyak dan gas.

Menurut NRES, Malaysia telah menegaskan komitmen untuk beralih secara progresif daripada penggunaan bahan api fosil menerusi Kenyataan Negara pada Sesi Peringkat Tinggi Persidangan Negara-Negara Ahli ke-31 (COP31) di Antalya, Turkiye.

Malaysia juga telah beralih daripada sasaran intensiti pelepasan kepada sasaran pengurangan pelepasan GHG secara mutlak menerusi Sumbangan Ditentukan Negara Ketiga (NDC 3.0).

Dalam mencapai komitmen berkenaan, kerajaan berpegang kepada prinsip trilema tenaga, iaitu menjamin keselamatan bekalan tenaga, kemampanan alam sekitar serta kemampuan tarif kepada rakyat dan industri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat