40,214 kandungan buli diturunkan, 204,934 fail penderaan seksual kanak-kanak dirampas – Fahmi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40,214 kandungan berunsur buli diturunkan daripada platform dalam talian, manakala 204,934 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dirampas menerusi operasi penguatkuasaan sepanjang tahun ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November 2026, sebanyak 40,214 kandungan berunsur buli dan 55 kandungan jelik membabitkan kanak-kanak diturunkan oleh pemberi perkhidmatan susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata, angka kandungan berunsur buli itu merangkumi semua kategori umur dan tidak diperincikan mengikut umur pengguna.

Katanya, statistik berkenaan merujuk kepada jumlah kandungan yang diturunkan, bukannya jumlah kes jenayah atau mangsa yang terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata operasi Cyber Guardian 2026 yang dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa kepada 69 tangkapan serta rampasan 498,690 fail digital, termasuk 204,934 fail CSAM.

Selain itu, Op Pedo Bersepadu 3.0 yang dilaksanakan pada 14 hingga 16 September lalu hasil risikan bersama PDRM dan MCMC membabitkan 52 serbuan serta 53 tangkapan, termasuk lapan remaja.

Menurutnya, kerjasama MCMC dan PDRM menerusi Op Pedo 1.0 sebelum ini turut membawa kepada penahanan beberapa individu serta rampasan lebih 40,000 fail CSAM.

Manakala Op Pedo 2.0 yang dilaksanakan dari 22 hingga 30 September 2025 membabitkan 37 serbuan di sembilan negeri, dengan 31 tangkapan serta rampasan lebih 880,000 fail CSAM.

Susulan operasi itu, seramai 17 individu didakwa di mahkamah.

Fahmi berkata, penguatkuasaan terhadap jenayah berkaitan buli siber dan eksploitasi seksual kanak-kanak dilaksanakan PDRM berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sementara itu, MCMC melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap kandungan memudaratkan dalam talian yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini, sebanyak 25 kes penyalahgunaan media sosial di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah didakwa di mahkamah, 16 kes dikompaun manakala 41 kes dikenakan surat amaran.

Beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan terhadap kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000.

Mengulas keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2025, Fahmi berkata MCMC sedang memantau pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta tahap pematuhan pemberi perkhidmatan berlesen.

“Penilaian berterusan akan dibuat berdasarkan tahap pematuhan tersebut dan tindakan Pemberi Perkhidmatan Berlesen dalam menangani kandungan memudaratkan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan jumlah kes buli siber, eksploitasi seksual dan kandungan berbahaya terhadap kanak-kanak bagi 2026 serta keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial di Dewan Rakyat, pada Khamis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat