99.5 peratus sekolah sudah diliputi 4G, baki diberi perhatian – Fahmi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,207 daripada 10,259 sekolah di seluruh negara atau 99.5 peratus kini menikmati liputan rangkaian 4G, dengan kerajaan komited memastikan semua sekolah mendapat capaian Internet stabil dan berkualiti.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha memperkukuh infrastruktur digital akan terus diberi keutamaan, khususnya bagi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, kejayaan pembangunan infrastruktur digital bukan sekadar diukur berdasarkan kadar liputan, sebaliknya turut mengambil kira kualiti perkhidmatan yang dinikmati pengguna, termasuk warga sekolah.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau dan memperkukuh infrastruktur supaya baki sekolah yang belum berliputan turut diberi perhatian.

“Kementerian melaksanakan Projek JENDELA 2 (Kumpulan 1) secara berperingkat mulai November 2026. Projek ini membabitkan pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara, termasuk 12 tapak di Johor,” katanya.

Bagaimanapun, Fahmi menjelaskan pelaksanaan JENDELA 2 bukan khusus untuk menyediakan capaian Internet di sekolah, sebaliknya memberi keutamaan kepada kawasan berpenduduk, terutama di luar bandar dan pedalaman yang masih belum mendapat liputan komunikasi.

Katanya, pemilihan teknologi bersesuaian mengambil kira faktor kepadatan penduduk, bentuk muka bumi serta infrastruktur sedia ada.

Bagi memperluas capaian gentian optik berhampiran sekolah pula, beliau berkata kementerian melaksanakan Projek Point of Presence (PoP) dengan kos keseluruhan RM4.6 bilion.

“Infrastruktur ini turut memanfaatkan premis kerajaan, kediaman dan komuniti dalam radius 2.5 hingga tiga kilometer, dengan kelajuan sehingga 1Gbps,” katanya.

Menurutnya, setakat November 2026, kesemua 677 lokasi PoP Fasa 1 sudah siap, termasuk 630 lokasi berhampiran sekolah.

Bagi PoP Fasa 2 pula, sebanyak 2,985 daripada 3,013 lokasi berhampiran sekolah atau 99.07 peratus sudah disiapkan, manakala baki lokasi dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 Disember 2026.

Mengulas pembahagian tanggungjawab antara kementerian, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memainkan peranan saling melengkapi dalam memastikan kemudahan Internet sekolah disediakan.

Katanya, Kementerian Komunikasi bertanggungjawab menyediakan infrastruktur komunikasi berkelajuan tinggi, manakala urusan perolehan dan langganan Internet sekolah diuruskan sepenuhnya oleh KPM menerusi tender terbuka berasaskan prinsip neutral teknologi.

Beliau berkata, proses tender itu tidak terhad kepada penggunaan teknologi PoP atau gentian optik sahaja, sebaliknya pemilihan penyedia perkhidmatan mengambil kira keperluan setempat, spesifikasi teknikal, kelajuan, tahap perkhidmatan serta harga terbaik bagi setiap sekolah.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang meminta penjelasan mengenai dasar kementerian bagi memastikan sekolah luar bandar menikmati capaian Internet yang memenuhi Standard Kualiti Perkhidmatan Wajib (MSQoS).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat