Farm Fresh bukan sekadar bekalkan susu, turut semai generasi sihat dan berkeyakinan

Segelas susu mungkin kelihatan seperti sesuatu yang kecil dalam rutin harian seorang murid, namun di sebaliknya tersimpan harapan besar untuk melahirkan generasi yang lebih sihat, cerdas dan berkeyakinan dalam melangkah ke masa depan.

Itulah antara usaha yang terus dibawa Farm Fresh menerusi Program Susu Sekolah (PSS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bukan sekadar memastikan murid mendapat bekalan nutrisi, malah turut membuka ruang kepada pembentukan sahsiah dan keterampilan diri sejak di bangku sekolah.

Bagi Farm Fresh, pendidikan bukan hanya tentang pencapaian dalam bilik darjah. Keupayaan berkomunikasi, membawa diri, membina keyakinan serta mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian juga merupakan sebahagian daripada perjalanan membentuk insan yang berjaya.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, usaha membina generasi yang holistik perlu bermula dengan asas kesihatan dan pemakanan yang baik, terutama dalam kalangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, pencapaian akademik semata-mata tidak mencukupi sekiranya murid tidak diberikan peluang untuk mengembangkan kemahiran diri dan membina keyakinan dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Gala Hari Susu Sekolah Sedunia 2026 yang berlangsung di Majika Penang Convention Centre (MPCC), Pulau Pinang, hari ini. Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Menariknya, sambutan itu bukan hanya menjadi ruang untuk meraikan kepentingan susu dalam tumbesaran kanak-kanak, tetapi turut menghargai individu yang bekerja di sebalik tabir bagi memastikan bekalan susu sampai kepada murid setiap hari.

Azmi berkata, penghargaan turut diberikan kepada usahawan penghantaran yang memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan susu sampai ke sekolah, termasuk di kawasan pedalaman yang jauh dan sukar diakses.

Bagi tempoh 2025 hingga 2030, Farm Fresh diberikan kontrak membekalkan hampir 80 juta pek susu UHT tanpa perisa setiap tahun kepada murid yang menerima manfaat Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Pelantikan menerusi tender terbuka itu melibatkan lima zon iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, Perlis dan Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Namun, sumbangan Farm Fresh tidak terhenti pada soal pemakanan semata-mata. Syarikat itu turut memperluaskan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi perhatian kepada pendidikan, kebajikan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti.

Antara usaha yang mencuri perhatian ialah kerjasama bersama Tetra Pak Malaysia menerusi Program Memupuk Amalan Kelestarian ‘Kotak Jadi Taman’ yang mengajak warga sekolah melihat kotak susu terpakai daripada sudut berbeza.

Menerusi konsep Recycle and Redeem yang dilaksanakan di 10 negeri, murid dan warga sekolah digalakkan mengumpul serta menghantar kotak susu untuk dikitar semula. Mata yang dikumpulkan pula boleh ditebus dengan barangan atau hadiah yang dihasilkan daripada bahan kitar semula.

Lebih menarik, sebanyak 10 sekolah terpilih menyertai Pertandingan Kotak Jadi Taman Peringkat Kebangsaan dengan menghias taman menggunakan bahan terpakai termasuk kotak UHT. Pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM6,800 kepada para pemenang.

Melalui aktiviti tersebut, murid bukan sahaja didedahkan kepada kepentingan menjaga alam sekitar, malah berpeluang mempelajari teknologi penanaman sayur-sayuran dan memahami kepentingan mengamalkan pemakanan seimbang.

Dalam masa sama, Farm Fresh turut membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada golongan yang memerlukan. Menerusi Dermasiswa Pelajar B40 STPM, sebanyak RM500,000 diperuntukkan pada 2026 bagi membantu 500 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga berpendapatan rendah.

Usaha meningkatkan penguasaan akademik pula diteruskan menerusi Kelas Tuisyen Bijak Mengira dengan peruntukan RM420,000 untuk menyediakan kelas tuisyen Matematik kepada 500 murid terpilih. Mereka turut menerima bekalan susu percuma di 10 sekolah setiap tahun.

Tidak ketinggalan, inisiatif Smartboard Percuma Prasekolah menyediakan papan pintar bernilai RM200,000 kepada 28 sekolah bagi menyokong kaedah pembelajaran yang lebih interaktif dan sesuai dengan perkembangan pendidikan masa kini.

Dalam usaha memperkukuh ekonomi masyarakat setempat, Program Limpahan Usahawan – Cakna Komuniti pula berjaya menjana pulangan sebanyak RM9.25 juta kepada 120 usahawan tempatan menerusi aktiviti penghantaran susu ke sekolah.

Farm Fresh turut membawa murid lebih dekat dengan dunia pertanian menerusi Program School to Farm yang bernilai RM60,000. Seramai 500 murid berpeluang mengikuti pengalaman pembelajaran secara langsung di ladang lembu tenusu Farm Fresh, sekali gus memberi pendedahan tentang proses penghasilan produk tenusu.

Selain itu, sebanyak 500,000 cawan susu percuma diperuntukkan untuk edaran di sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia sepanjang 2026.

Peluang pembangunan kerjaya turut diberi perhatian menerusi Program PROTÉGÉ apabila Farm Fresh mengambil 56 peserta setiap tahun dengan peruntukan dianggarkan RM1.1 juta. Penempatan peserta merangkumi pelbagai sektor dalam operasi syarikat.

Keseluruhan inisiatif ini memperlihatkan bagaimana sebuah program yang bermula dengan usaha membekalkan susu kepada murid mampu berkembang menjadi platform lebih besar untuk membantu masyarakat.

Bagi Azmi, komitmen Farm Fresh adalah untuk terus menyediakan produk tenusu yang segar, berkhasiat dan mampu milik menerusi PSS serta kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan.

Jelasnya, matlamat syarikat bukan sekadar memastikan murid menikmati susu setiap hari, sebaliknya mahu melihat lebih ramai anak-anak membesar dengan pemakanan seimbang, mempunyai keyakinan diri dan berani mengembangkan potensi masing-masing.

Kerana akhirnya, membina generasi masa depan bukan hanya tentang apa yang mereka pelajari di dalam kelas, tetapi juga tentang bagaimana mereka membesar, apa yang mereka amalkan dan peluang yang diberikan untuk mereka mencipta kehidupan lebih baik.

Dan mungkin, daripada sekotak susu yang diminum setiap hari, bermulalah langkah kecil menuju masa depan yang lebih besar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat