KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan 11 muka baharu dalam senarai 82 calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dengan sembilan penyandang daripada gabungan itu tidak dicalonkan semula.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong untuk penggal kedua, manakala Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, dinamakan sebagai calon di Pending.
Wee beralih ke Pending selepas tewas kepada Chong Chieng Jen daripada DAP dengan majoriti 1,198 undi di Padungan pada 2021. GPS kali ini meletakkan Wung Duk Ying di Padungan. Kedua-dua kerusi itu dimenangi DAP pada PRN lalu, masing-masing menerusi Chong di Padungan dan Violet Yong di Pending.
Sembilan penyandang GPS tidak dicalonkan semula
Perbandingan senarai calon GPS dengan keputusan PRN 2021 menunjukkan pertukaran penyandang di enam kerusi yang dimenangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dua kerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan satu kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Antara penyandang yang tidak dicalonkan semula ialah Idris Buang di Muara Tuang, Francis Harden Hollis di Simanggang dan Rosey Yunus di Bekenu. Mereka masing-masing digantikan oleh Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, Leonard Libau Anol dan Nurfatin Syafawani Tahamat.
Enam lagi pertukaran melibatkan Simunjan, Beting Maro, Kabong, Ngemah, Pelagus dan Batu Danau. Abang Johari berkata pencalonan muka baharu memberi ruang kepada barisan pelapis kepimpinan negeri. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyandang yang berundur selepas berkhidmat pada penggal lalu.
Selain sembilan kerusi itu, dua lagi muka baharu GPS ialah Wung di Padungan dan Kevin Lau Kor Jie di Bawang Assan. Kevin mengambil alih pencalonan GPS daripada Robert Lau Hui Yew, yang tewas kepada Wong Soon Koh daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2021.

Lima calon wanita, berbanding empat pada 2021
GPS mengekalkan tiga penyandang wanita, iaitu Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Samariang, Dayang Noorazah Awang Sohor di Lingga dan Fatimah Abdullah di Dalat. Pencalonan Dr Dayang Nurfizawati di Muara Tuang dan Nurfatin Syafawani di Bekenu menjadikan jumlah calon wanita GPS lima orang, meningkat daripada empat pada PRN lalu.
Selain Abang Johari di Gedong, ketiga-tiga Timbalan Premier turut mempertahankan kerusi masing-masing. Douglas Uggah Embas kekal di Bukit Saban, Awang Tengah Ali Hasan di Bukit Sari dan Dr Sim Kui Hian di Batu Kawah.
GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi pada PRN 2021, manakala PSB memperoleh empat kerusi dan DAP dua. Penamaan calon ditetapkan pada 28 November, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember.-SUARA.TV



