KUALA LUMPUR – Malaysia, Indonesia dan Vietnam menjadi tiga negara perintis bagi inisiatif Investment-Ready Minerals Projects (IRMP) dalam usaha ASEAN meningkatkan kesiapsiagaan projek mineral serta menarik pelaburan yang berdaya maju secara komersial.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha ASEAN menghubungkan dasar pembangunan sektor mineral dengan modal pelaburan, sekali gus memperluas peluang pelaburan dalam industri berkenaan di rantau ini.
Beliau berkata, Forum Pelaburan Mineral ASEAN (AMVest) dirangka bagi mencapai matlamat itu menerusi padanan perniagaan, pelaksanaan inisiatif IRMP serta pembangunan ASEAN Minerals Connect.
“Melalui padanan perniagaan, inisiatif IRMP dan pembangunan ASEAN Minerals Connect, kami berhasrat meningkatkan kesiapsiagaan projek, akses pelabur kepada maklumat serta peluang pelaburan yang berdaya maju secara komersial.
“Malaysia, Indonesia dan Vietnam merupakan negara perintis bagi IRMP,” katanya dalam sidang media pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Mineral (AMMin) dan AMVest di ibu negara hari ini.

Arthur berkata, kerjasama ASEAN dengan negara ASEAN Plus Three, iaitu China, Jepun dan Korea Selatan, selain Bank Dunia serta rakan strategik lain, kekal penting dalam aspek pembiayaan, teknologi, pembangunan kemahiran dan pembangunan sektor mineral secara bertanggungjawab.
ASEAN Iktiraf Kecemerlangan Industri
Pada masa sama, katanya, ASEAN turut mengiktiraf kecemerlangan industri menerusi penganjuran Anugerah Mineral ASEAN Kali Kelima yang akan disampaikan malam ini.
Beliau berkata, Malaysia berharap momentum kerjasama dalam pembangunan sektor mineral dapat diteruskan bersama semua negara anggota ASEAN menjelang penganjuran AMMin dan AMVest seterusnya di Singapura pada 2027.
Menurutnya, ASEAN bukan sekadar memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran mineral, sebaliknya turut menekankan penciptaan nilai tambah dan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
“Mesej kami jelas, ASEAN bukan sekadar mahu meningkatkan pengeluaran mineral, tetapi mahu mewujudkan nilai tambah yang lebih tinggi, menggerakkan pelaburan bertanggungjawab dan memberikan manfaat berkekalan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Suara TV dengan syarikat Malaysia berkaitan perlombongan mineral pada acara AMMin dan Amvest hari ini menerima respon positif dari mereka yang mengakui pihak NRES banyak membantu syarikat dalam industri mineral di rantau ini.
NRES Bawa Peranan Penting Membantu Syarikat Perlombongan Mineral Malaysia
Naib Presiden MCRE Resources Sdn Bhd Che Wan Rabiatul Adawiah Wan Mohd Ali berkata NRES memberikan bantuan kepada syarikat untuk menyediakan prosedur standard operasi (SOP) bukan setakat SOP perlombongan tetapi juga ke arah SOP bagaimana untuk kita memasarkan hasil mineral berkenaan.
“NRES sangat membantu kami dari segi pemantauan operasi perlombongan kami,” katanya yang juga merupakan seorang pakar Geologi.
MCRE adalah sebuah syarikat pengeluar mineral nadir bumi (REE) terbesar di luar China yang mengeluarkan ‘Rare Earth Carbonate’ dengan lebih 35,000 tan pengeluaran selama dua tahun di negeri Perak.
Bagi syarikat Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT) pula, Jurutera Kanan Perlombongannya Muhammad Nor Salam Abd Ranni berkata lombong bijih RHT di Hulu Perak yang sudah beroperasi sejak tahun 1907 masih lagi beroperasi melombong sehingga ke hari ini.
Menurut beliau pada masa kini lombong RHT telah meningkatkan pengeluaran kepada kira-kira 11.5 tan sehari untuk diproses sebelum dihantar ke London Metal Exchange.
“Untuk industri sekarang, untuk pateri dalam panel elektronik yang mana ia banyak digunakan secara meluas dalam industri elektronik, untuk proses pateri majoritinya menggunakan timah,” katanya kepada Suara TV.
NRES Bantu Bawa Nilai Kualiti Bijih Timah Malaysia Ke Peringkat Antarabangsa
Menurut Muhammad Nor Salam, tujuan RHT menyertai program AMMin dan AMVest sebagai pempamer adalah untuk memperkenalkan serta mempromosi mineral bijih timah yang ada di Malaysia kerana bijih timah di negara ini adalah antara lima bijih dengan kualiti terbaik di Asia Tenggara.
“Sebenarnya NRES memainkan peranan penting untuk kita mempromosikan pengeluaran bijih timah dari Malaysia kerana Malaysia merupakan pembekal utama bijih timah di Asia Tenggara (kedudukan ke-10) di dunia pada ketika ini,” katanya.
Untuk rekod, keluasan lombong RHT di Hulu Perak ialah kira-kira 700 hektar.
Acara AMMin dan AMVest 2026 berlangsung sejak semalam dan akan berakhir pada 26 November nanti.
AMMin dan AMVest merupakan dua platform kerjasama ASEAN dalam pembangunan industri mineral serantau.
AMMin lebih tertumpu kepada dasar dan kerjasama antara kerajaan manakala AMVest memberi tumpuan kepada pelaburan dan peluang perniagaan dalam sektor mineral.
Ditubuhkan pada 2005, AMMin merupakan badan pembuat dasar tertinggi dalam kerjasama sektor mineral ASEAN yang menghimpunkan menteri negara anggota yang bertanggungjawab terhadap sektor berkenaan.
AMVest merupakan platform utama ASEAN untuk menghimpunkan kerajaan, pelabur, institusi kewangan dan pemain industri bagi meneroka peluang pelaburan sektor mineral – Suara TV


