KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang lesen baharu bagi aktiviti perjudian sejak 1990-an, sebaliknya hanya mengawal selia operasi perjudian berlesen sedia ada.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen berkata, sebarang langkah mengubah dasar berkaitan perjudian perlu mengambil kira asas perundangan sedia ada, keberkesanan pelaksanaan dan penguatkuasaan, risiko peningkatan aktiviti tidak berlesen serta kesejahteraan masyarakat majmuk di negara ini.
Menurutnya, penambahan sekatan terhadap pemberian lesen kepada sesuatu sektor perniagaan tidak semestinya dapat menghapuskan aktiviti berkenaan sekiranya permintaan masih wujud, khususnya menerusi saluran tidak berlesen.
“Sehubungan itu, pendekatan yang menyeluruh, merangkumi penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak berlesen, usaha semua pihak dalam meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab masyarakat adalah juga penting dan bukan sekadar dari sudut pentadbiran pelesenan,” katanya.
Kementerian menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pertimbangan kementerian untuk menyemak semula pemberian lesen di bawah Akta Pertaruhan Wang Terkumpul 1967, khususnya di negeri-negeri yang melaksanakan dasar sifar judi.
Hasil carian Suara TV berdasarkan rekod Hansard Dewan Rakyat bertarikh 15 Julai 1991, kerajaan ketika itu menetapkan dasar untuk tidak lagi meluluskan lesen baharu bagi aktiviti perjudian, sebaliknya membenarkan syarikat swasta meneruskan operasi perjudian yang telah dilesenkan.
Kerajaan turut menamatkan operasi Loteri Perkhidmatan Masyarakat dan Kebajikan pada 1991, sekaligus tidak lagi terbabit secara langsung dalam pengendalian aktiviti perjudian di negara ini.
Bagi kategori perjudian nombor ramalan atau lebih dikenali sebagai nombor ekor, antara pengendali berlesen di Semenanjung Malaysia ialah Sports Toto, Magnum dan Da Ma Cai, selain beberapa pengendali di Sabah dan Sarawak.
Pemberian dan pembaharuan lesen pertaruhan wang terkumpul tertakluk kepada Seksyen 5 Akta Pertaruhan Wang Terkumpul 1967 yang memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk mengeluarkan, memperbaharui atau membatalkan lesen serta menetapkan syarat terhadap pemegang lesen.
Bagi kategori kasino pula, Malaysia mempunyai sebuah kasino berlesen yang beroperasi di Genting Highlands, Pahang, sejak awal 1970-an dan kini dikendalikan oleh Genting Malaysia Berhad.
Pelesenan kasino tertakluk kepada Seksyen 27A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kewangan untuk membenarkan sesebuah syarikat mengendalikan aktiviti perjudian tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Pada 16 Disember 2020 pula, MOF memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa terdapat satu lesen kasino, lima lesen induk pengendali nombor ramalan serta 1,658 lesen pengendali dan premis nombor ramalan di negara ini.
Bagaimanapun, jawapan bertulis terbaharu kementerian itu tidak memperincikan jumlah keseluruhan lesen perjudian yang masih berkuat kuasa atau menyatakan sama ada kerajaan bercadang menghentikan pembaharuan lesen di negeri-negeri yang melaksanakan dasar sifar judi.



