KUALA LUMPUR — Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini melancarkan secara rasmi Sistem Amaran Awal Nasional (EWS) yang kini dikenali sebagai MySiren, bagi memperkukuh penyampaian amaran kecemasan kepada orang ramai.
Pelancaran yang berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia itu menyaksikan pengenalan teknologi baharu yang membolehkan amaran kecemasan disampaikan terus kepada telefon bimbit pengguna di kawasan berisiko.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menyalurkan amaran kepada telefon mudah alih yang serasi tanpa memerlukan pemasangan aplikasi atau pendaftaran.
“Teknologi ini membolehkan amaran disasarkan kepada kawasan tertentu berdasarkan lokasi dan keperluan situasi kecemasan, sekali gus melengkapi saluran amaran sedia ada,” menurut kenyataan MCMC.
Menerusi teknologi berkenaan, amaran boleh disampaikan dalam tempoh kurang satu minit, berbanding penghantaran SMS secara pukal yang boleh mengambil masa sehingga satu jam atau lebih.
“Melalui teknologi ini, amaran boleh disampaikan dalam tempoh kurang daripada satu minit, berbanding penghantaran SMS secara pukal yang boleh mengambil masa sehingga satu jam atau lebih,” katanya.
Sempena majlis pelancaran itu, MCMC turut melaksanakan simulasi MySiren di pekarangan Bangunan Parlimen bagi menguji keupayaan sistem menyalurkan mesej berserta bunyi amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan ditetapkan.
Simulasi berkenaan merupakan susulan ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC, Cyberjaya pada 19 November lalu, manakala ujian penerimaan amaran secara serentak di seluruh negara dijadualkan pada 29 November ini.
Bagi memastikan peranti dapat menerima amaran, orang ramai disarankan mengemas kini sistem operasi telefon masing-masing kepada versi minimum yang ditetapkan.
“iPhone 11 dan model lebih baharu: iOS 27.2 atau versi lebih terkini; Telefon Android: Android 12 atau versi lebih terkini; dan Telefon Huawei: EMUI 16 atau versi lebih terkini,” menurut kenyataan itu.
Pengguna juga perlu memastikan tetapan amaran kecemasan seperti Government Alerts atau Wireless Emergency Alerts (WEA) diaktifkan pada peranti masing-masing.
“Penerimaan amaran adalah tertakluk pada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, MCMC akan terus bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan sistem berkenaan bersedia untuk beroperasi sebelum pelaksanaannya diperluaskan.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan sistem ini bersedia untuk beroperasi sebelum diperluas pelaksanaannya,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai MySiren menerusi laman sesawang rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my/mysiren serta saluran media sosial rasmi suruhanjaya itu.



