KUALA LUMPUR – Pas didakwa menggadaikan prinsip perjuangan Islam apabila kembali bersekutu dengan Umno, sekali gus memperlihatkan parti itu sanggup mengambil jalan politik berasaskan kaum demi mengejar kuasa dan menguasai Putrajaya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kerjasama Umno-Pas yang dibingkaikan sebagai perpaduan Melayu-Islam sebenarnya tidak mencerminkan perjuangan Islam, sebaliknya menjurus kepada fahaman assobiah atau perkauman sempit.
Beliau mendakwa Pas kini sudah menyimpang daripada landasan perjuangan asal apabila memilih kembali ke pangkuan Umno, parti yang pernah ditinggalkannya pada 1951 untuk menubuhkan Pas.
“Jika pada tahun 1951 Pas keluar meninggalkan Umno dan menubuhkan Pas, tetapi 75 tahun kemudiannya, pada tahun 2026, ternyata Pas di bawah presidennya Abdul Hadi Awang telah menyerah kalah dan kembali kepada Umno,” katanya dalam kenyataan baru-baru.
Menurut Hassan, tindakan itu menunjukkan Pas bukan lagi mengekalkan pendirian asalnya menentang politik berasaskan kaum, sebaliknya menjadikan kerjasama dengan Umno sebagai jalan singkat untuk meraih kemenangan pilihan raya.
Malah, beliau mendakwa Pas kini sanggup berkompromi dengan isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah, termasuk kontroversi 1MDB, SRC, Tabung Haji dan FELDA.
“Dengan secara terbuka Pas bergabung dengan Umno, maka gugurlah perjuangan Islam Pas selama ini,” katanya.
Mengulas persaingan menuju PRU16, Hassan berkata, Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan PKR, Amanah dan DAP pula membawa tiga nilai teras iaitu keadilan, amanah dan demokrasi.
Beliau berkata, pilihan raya umum akan datang menjadi medan rakyat menentukan sama ada mahu mengekalkan gabungan pelbagai kaum berasaskan nilai tersebut atau memilih gabungan politik yang menurutnya bergantung kepada sentimen perkauman.
“Kuasa pada tangan rakyat. Rakyatlah yang akan dapat kerajaan yang dipilihnya sendiri,” katanya.



