Ketika Amanah berpelukan dengan Umno, Zahid masih dibicarakan- Fadhli tempelak Khalid Samad

KUALA LUMPUR – “Sejak bila Umno menjadi parti ‘sakau’ hanya apabila bekerjasama dengan Pas?”

Demikian persoalan tajam Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari, yang mempersoalkan pendirian Amanah berhubung kerjasama politik dengan Umno, sedangkan parti itu sendiri pernah membentuk kerajaan bersama parti berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menyifatkan kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, yang melabelkan Umno sebagai parti ‘asabiyah’ dan ‘sakau’ ketika mengulas kerjasama Pas dengan parti itu sebagai satu pendirian yang perlu diperjelaskan.

Fadhli mempersoalkan mengapa Umno boleh diterima sebagai rakan kerajaan oleh Amanah selepas PRU15 pada November 2022, tetapi kerjasama PAS dengan parti sama kini dijadikan bahan kritikan.

Lebih menarik, katanya ketika Amanah bersetuju membentuk kerajaan bersama Umno Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih berdepan perbicaraan 47 pertuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Beliau turut membangkitkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 September 2023 yang memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua 47 pertuduhan tersebut.

“Ketika Amanah menerima Umno sebagai rakan kerajaan sewaktu presidennya masih dibicarakan, kerjasama itu dibolehkan atas nama kestabilan politik.

“Tetapi apabila Pas bekerjasama dengan Umno selepas Zahid memperoleh DNAA, tiba-tiba kerjasama tersebut dianggap bersama parti ‘sakau’?

“Mengapa dua ukuran yang berbeza digunakan terhadap parti yang sama?” katanya.

Menurut Fadhli, DNAA bukan pembebasan penuh dan perkembangan kes Zahid ketika itu sewajarnya turut menjadi pertimbangan apabila Amanah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Umno.

Justeru, beliau meminta Khalid menjelaskan apakah yang berubah pada Umno sehingga parti itu boleh diterima sebagai rakan kerajaan oleh Amanah, tetapi kerjasama Pas dengan parti sama pula dianggap bermasalah.

Khalid sebelum ini, ketika berucap pada Konvensyen Nasional Amanah, mengkritik kerjasama Pas dengan Umno dengan menyifatkan parti itu sebagai parti ‘asabiyah’ dan ‘sakau’.

Kenyataan berkenaan mengundang persoalan mengenai konsistensi pendirian Amanah terhadap Umno, khususnya apabila mengambil kira pembentukan kerajaan bersama parti itu selepas PRU15.

Fadhli menegaskan Khalid perlu menjelaskan percanggahan yang dibangkitkannya itu terlebih dahulu sebelum mempertikaikan prinsip politik pihak lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat