KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor menafikan dakwaan bahawa ia membelakangkan Umno berikutan cadangan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) bersama blok pembangkang, yang dikaitkan dengan penggantian lantikan politik termasuk kerusi Exco negeri.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Saifuddin Shafi Muhammad menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengambil langkah menggugurkan wakil Umno daripada barisan Exco.
Menurutnya, PH menghormati Umno sebagai rakan dalam pentadbiran negeri dan sebarang perkara mengenai kerjasama itu wajar dibincangkan terus antara kedua-dua pihak.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah mengambil sebarang langkah untuk menggugurkan wakil Umno daripada barisan Exco,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa PH membelakangkan Umno, sambil menyifatkan PH sebagai sahabat yang boleh dipercayai.
Kenyataan itu dibuat selepas Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pada 16 November menyatakan perbincangan antara kerajaan negeri dan blok pembangkang mengenai CSA belum mencapai kata putus.
Saifuddin menegaskan, sehingga kini tiada pengumuman rasmi bahawa perjanjian tersebut telah dimeterai.



